Pelajar Kolej Vokasional calon 50 terbaik anugerah Global Student Prize
Pelajar Kolej Vokasional Keningau (KVK) Sabah, Nurul Nazieha Jasnie terpilih sebagai seorang daripada calon 50 terbaik bagi anugerah Global Student Prize (GSP) anjuran Varkey Foundation di United Kingdom.
Pelajar berusia 19 tahun dalam jurusan Diploma Bakeri dan Pastri di KVK itu adalah satu-satunya pelajar dari Malaysia yang berjaya melayakkan diri untuk anugerah GSP bagi tahun ini, yang menawarkan hadiah AS$100,000 kepada pemenang.
KVK dalam kenyataan kepada Bernama memberitahu pihaknya telah dimaklumkan oleh penganjur VK Foundation bahawa Nurul Nazieha adalah antara 50 peserta yang disenarai pendek bagi anugerah GSP untuk tahun ini.
“Bagi menyertai anugerah GSP, Nurul Nazieha yang berasal dari Kampung Taun Gusi, Kota Belud perlu menghantar permohonan yang disertai dengan bukti dan sesi temu ramah melalui Zoom dengan panel dari luar negara,” kata kenyataan itu.
KVK berkata Nurul Nazieha telah menggunakan kemahiran yang pelajarinya dalam bidang bakeri untuk melaksanakan projek komuniti yang disasarkan kepada golongan ibu berpendapatan rendah.
“Nurul Nazieha juga berjaya memulakan perniagaan biskut miliknya yang bernama “Tia Cookie” dengan hasil keuntungannya digunakan untuk menyertai pertandingan inovasi di Bali, Indonesia, tahun lalu,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu Pengarah KVK, Christine Stanislaus Kinsik yakin pencapaian Nurul Nazieha mampu membantu meningkatkan kebolehpasaran para graduan kolej vokasional di negara ini.
“Semoga pencapaian Nurul Nazieha menjadi inspirasi kepada semua pelajar dan belia di Sabah serta negara ini untuk terus mengharumkan nama negara di mata dunia,” katanya.
Sementara itu Varkey Foundation dalam kenyataan berasingan berkata Nurul Nazieha dengan bantuan beberapa tenaga pengajar, turut menghimpun beberapa rakannya untuk membuka kelas masakan bagi ibu tunggal dan wanita dalam kalangan berpendapatan rendah.
“Mereka telah melatih lebih 120 ibu tunggal dan kumpulan berpendapatan rendah daripada kelompok 40 peratus penduduk negeri pendapatan sederhana dalam bidang keusahawanan membuat kek dan roti, supaya mereka boleh gunakan kemahiran yang dipelajari untuk menjana pendapatan bagi meneruskan kehidupan,” menurut kenyataan itu.
Jika menang, Nurul Nazieha merancang untuk menggunakan perolehannya itu bagi meluaskan cabang keusahawanannya dan membentuk ia supaya menjadi gabungan bengkel komuniti serta penyediaan latihan kepada orang ramai terutama dalam kalangan wanita untuk menceburi bidang perniagaan sendiri.
“Beliau juga akan menampilkan buku resipi berasaskan masakan tradisional pelbagai etnik di Sabah, agar rantau ini dapat memelihara warisan budayanya menerusi makanan tradisional.
“Sebahagian daripada dana kemenangan itu akan digunakan bagi menguji resipi baharu dalam makmal ternama bagi mendapatkan sijil serta perakuan yang berkaitan untuk tujuan pemasaran yang lebih luas,” menurut kenyataan itu.