Nasional

Kementerian Ekonomi lancar projek rintis Akademi Industri esok

Kementerian Ekonomi akan melancarkan projek rintis Akademi Industri peringkat nasional sebagai usaha melaksanakan reformasi pasaran buruh dalam negara.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memaklumkan bahawa pelancaran itu akan dilakukan pada Selasa.

Mengulas lanjut mengenai projek itu, beliau menjelaskan kementeriannnya berjaya menarik minat 200 syarikat pengilang antarabangsa yang akan membuka ruang kepada belia khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melibatkan diri dalam sektor pembuatan dan perkilangan sebagai pekerja berkemahiran tinggi.

“Dalam tempoh dua bulan lepas kita mendapatkan syarikat kebanyakannya ialah syarikat pengilang antarabangsa yang akan memberi peluang kepada syarikat ini mengambil, melatih pekerja kemudian disijilkan dalam tempoh 18 bulan.

“Kalau kita tidak lakukan sesuatu kreatif ini akan ada kesan lebih parah kepada negara jadi kita yakin sebenarnya, terutama kepada belia tidak ada kelulusan. Lepasan SPM di negara kita hanya sekitar 30 peratus sahaja yang melanjutkan pelajaran, 70 peratus kekal dengan SPM jadi mereka ini nak buat apa, kita kena buka dan bawa mereka masuk ke dalam sektor pembuatan dan perkilangan,” katanya.

Rafizi yakin melalui langkah tersebut, isu berbangkit berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti tempoh pengajian yang panjang, tidak menamatkan pengajian dan minat semakin berkurang terhadap bidang berkenaan juga akan selesai.

Sementara itu beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan juga berkata, kerajaan bercadang meluaskan inisiatif berkenaan melalui kerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) supaya sijil diperoleh menerusi Akademi Industri dapat diiktiraf dan para peserta boleh melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dan ijazah.

“Insya-ALLAH ia akan melibatkan kerjasama IPT supaya ada aliran daripada sijil ke diploma dan ijazah, selepas ini lepasan sekolah ada dua pilihan, pergi ke universiti dan belajar kemudian cari kerja atau masuk industri terus bekerja dan disijilkan sehingga mendapat ijazah melalui aliran ini,” katanya.

Related Articles

Back to top button