Semasa

Mustahil Sanusi tak tahu kecurian REE di Bukit Enggang

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan mustahil untuk Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah tidak menyedari berlaku aktiviti membawa keluar unsur nadir bumi (REE) dari tanah milik anak syarikat kerajaan negeri itu.

Saifuddin dalam satu sidang media di Pejabat KEADILAN Kedah di Alor Setar pada Ahad berkata, untuk sampai ke lokasi kompartmen 12 di Bukit Enggang, Sik dimana REE dakwanya dicuri, sesiapa pun perlu melalui empat pagar keselamatan yang kesemuanya berpengawal.

Tambahnya, tidak mungkin ‘pencuri’ dapat melepasi keempat-empat pagar tersebut sekiranya mereka tidak diberi kebenaran untuk sampai ke lokasi kejadian oleh MBI.

“Tiga hari lepas saya sendiri ditemani oleh pasukan polis masuk sendiri ke lokasi insiden kecurian ini. Diatur oleh Ketua Polis Negeri Kedah kerana siri-siri tangkapan itu melibatkan kes itu.

“Di situ saya boleh tengok sendiri daripada jalan besar dia ada satu pos pengawal keselamatan kemudian pos, sebab premis itu adalah premis MBI, logistik, siapa yang letak kawalan keselamatan itu, MBI lah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan mustahil untuk Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi yang merupakan Pengerusi MBI tidak diberi taklimat mengenai kecurian tersebut.

“Mereka ni adalah syarikat yang diberi authority kemudian ianya di dalam pengetahuan MBI sendiri. Mustahil Menteri Besar tidak diberi taklimat oleh MBI. Melainkan memang Sanusi kerja dia politik dua puluh empat jam, dia tak tahu apa berlaku di bawah,” tambahnya.

16 Julai lalu, Saifuddin menuntut Muhammad Sanusi menjelaskan identiti seorang lelaki warga China yang ditahan di sebuah Hutan Simpan Bukit Enggang Sik berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE) pada Januari lalu.

Dakwanya , lelaki warga asing itu didapati masuk ke negara ini dengan menggunakan pas sosial iaitu pas lawatan ikhtisas dan bekerja dengan MBI.

Related Articles

Back to top button