Negeri

Selangor batal cadangan projek PJD-Link

Kerajaan Selangor memutuskan untuk membatalkan permohonan pembinaan projek kontroversi Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link), kata Amirudin Shari.

Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Besar sementara Selangor itu berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti laporan penilaian impak yang dikemukakan, terutamanya daripada segi laporan impak sosial.

Menurut beliau, pembinaan di kawasan Bandaraya Petaling Jaya itu pada awalnya diluluskan secara prinsip oleh Jemaah Menteri pada 12 November 2017.

“Cadangan ini kemudian dibawa kepada Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 3 September 2020.

“Kajian pembinaan seterusnya dijalankan dengan melibatkan penduduk di kawasan Petaling Jaya,” katanya.

Amirudin memberitahu, cadangan berkenaan menerima kelulusan bersyarat selepas dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 12 November 2021.

Jemaah Menteri melalui kelulusan itu katanya, menetapkan supaya pembinaan PJD Link perlu memenuhi semua syarat ditetapkan kerajaan negeri.

“Susulan kelulusan, perjanjian konsesi antara Kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional dan pemaju berkenaan telah ditandatangani pada 5 April 2022.

“Ia selepas mengambil kira syarat bahawa syarikat berkenaan perlu melaksanakan secara penuh Kajian Environmental Impact Assessment (EIA), Kajian Social Impact Assessment (SIA), dan Kajian Traffic Impact Assessment (TIA) sebelum perjanjian itu diaktifkan,” katanya.

Tegas beliau, kerajaan negeri mewajibkan semua pembangunan di Selangor mencapai keseimbangan antara kemampanan, kemajuan ekonomi negeri, serta tidak membawa kemudaratan kepada rakyat.

“Berkait dengan laporan penilaian impak yang dikemukakan terutamanya daripada segi laporan impak sosial, pentadbiran ini tidak berpuas hati kerana ia tidak menepati syarat ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

“Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Selangor tidak berhasrat untuk meneruskan cadangan ini dan memutuskan untuk membatalkan permohonan pembinaan lebuhraya PJD-Link,” katanya.

Menurut perancangan, PJD Link sepatutnya melibatkan pembinaan laluan berkembar sepanjang 25.4 kilometer meliputi Petaling Jaya, termasuk Jalan Penchala dan Jalan Utara.

Related Articles

Back to top button