Semasa

Elaun pelajar ILP: timbalan menteri akui perlu kajian semula

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berjanji untuk membawa isu elaun bulanan pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) ke peringkat kementeriannya.

Ia susulan permintaan seorang pelajar ILP Jitra yang memohon supaya kerajaan mempertimbang semula elaun seiring peningkatan kos sara hidup ketika ini.

“Saya akan bawa perkara ini ke peringkat kementerian untuk kita buat kajian. Saya fikir sudah tiba masanya untuk dikaji semula.

“Memang betul jugalah dari segi nilai pun sekarang dah jauh berbeza berbanding dulu,” katanya kepada pemberita selepas hadir sesi dialog bersama pelajar ILP sempena lawatan kerja beliau semalam.

Difahamkan, ketika ini pelajar-pelajar di institut latihan itu menerima elaun RM100 sebulan.

Sementara itu, Mustapha menggalakkan lebih ramai pelajar tahfiz di daerah Kubang Pasu menyertai Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ditawarkan di ILP Jitra untuk bukan sahaja menguasai ilmu agama, namun dalam masa sama menguasai kemahiran teknikal.

“Kita minta lebih ramai pelajar tahfiz berminat dalam TVET. Kita galakkan mereka untuk daftar di institut latihan TVET supaya anak-anak tahfiz ini bukan sahaja mahir dalam menghafaz Al-Quran tetapi dapat membaiki peralatan elektrikal dan lain-lain di madrasah mereka dan menyertai alam pekerjaan,” katanya.

Setakat ini, seramai 25 pelajar Madrasah Diniah Tok Sara di daerah itu mengikuti Kursus Asas Pendawaian Elektrik dan Kursus Penyelenggaraan Jentera Bajak Satu Silinder manakala 63 pelajar Tahfiz Al Fityan mengambil Kursus Asas Elektronik dan sembilan pelajar Madrasah Ribat Nasrul Muhajirin (Pemasangan dan Penyelenggaraan Pendingin Hawa).

Pada program itu, Mustapha turut meluangkan masa beramah mesra dengan 190 pelajar baharu yang mengikuti kursus bagi sesi 2/2023 di ILP Jitra.

Related Articles

Back to top button