Politik

Keharmonian dalam PN terbukti palsu – Mahfuz

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dianggap telah gagal memastikan keharmonian dalm gabungan itu.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata begitu selepas dua bekas pemimpin Pas di Langkawi bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Situasi itu jelasnya telah membuktikan keharmonian yang diuar-uarkan dalam PN sebelum ini sebenarnya tidak berlaku.

“Bukan saja di Langkawi, malah di Kota Siputeh pun Ketua Bersatu Jerlun bertanding sebagai calon Bebas setelah tidak puas hati dengan calon dipilih PN.

“Maka, jelas sekali bahawa Muhammad Sanusi sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas dan PN gagal memastikan keharmonian dalam gabungan tersebut di negeri sendiri.

“Semua ini menunjukkan pergolakan dalaman PN dan kegagalan Muhammad Sanusi dalam membuat rundingan,” katanya.

Mahfuz berkata begitu pada sidang akhbar di Pusat Operasi Pilihan Raya PH DUN Alor Mengkudu pada Isnin.

Difahamkan Timbalan Yang Dipertua Pas Langkawi, Mazlan Ahmad bertanding di kerusi DUN Kuah dan Timbalan Ketua Pemuda Pas Langkawi, Safwan Hanif Shafie bertanding di DUN Ayer Hangat sebagai calon Bebas setelah tidak bersetuju pemilihan calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), untuk mewakili PN di dua kerusi tersebut.

Related Articles

Back to top button