Nasional

Kerajaan sasar kadar kemiskinan luar bandar bawah 10 peratus – Zahid

Kerajaan menyasarkan kadar kemiskinan luar bandar dapat diturunkan ke paras bawah 10 peratus menjelang tahun hadapan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, ketika ini kadar kemiskinan luar bandar berada pada paras 12 peratus berbanding 12.9 peratus sebelumnya.

“Kita lihat sebanyak 130,000 ketua isi rumah berada dalam kumpulan miskin tegar ketika ini, kita harus keluar daripada masalah ini dan ia tidak mustahil untuk dilakukan kerana pelbagai kementerian telah dikoordinasikan. Insya-ALLAH azam kita pada tahun ini dan tahun hadapan kadar ini akan berada di tahap satu digit iaitu bawah 10 peratus.

“Perdana Menteri (Anwar) juga telah memberikan amanah kepada saya bukan hanya untuk menyelaras tetapi melihat keberkesanan pada setiap pelaksanaan usaha bagi menoktahkan kemiskinan tegar,” katanya ketika menjadi tetamu pada program Naratif Khas: Senada Memperkasa Ekonomi Madani, malam tadi.

Beliau berkata, bagi memastikan sasaran itu dapat dicapai, pelbagai program telah dirangka untuk meningkatkan sumber pendapatan golongan ini.

“Dari segi program, kita ada Program Peningkatan Pendapatan melibatkan peruntukan sebanyak RM12 juta yang mana melalui program ini kumpulan miskin tegar, miskin dan B40 dapat dibantu dan sebanyak 70 peratus peserta program ini telah dapat meningkatkan pendapatan mereka melebihi 30 peratus daripada pendapatan asal mereka.

“Selain itu, kita juga lakukan program latihan dan kemahiran kerjaya bagi meningkatkan kemahiran generasi baharu di kawasan desa dan hasilnya kita dapati 70 peratus peserta yang tamat latihan, mendapat pekerjaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata, menerusi program Desa Lestari, ia bukan sekadar bertujuan untuk memperkasakan sosioekonomi desa tetapi turut memberi khidmat nasihat dan juga bantuan kepada koperasi desa.

“Ini bagi membolehkan koperasi desa menjana pendapatan penduduk luar bandar sekali gus bersama-sama menurunkan kadar kemiskinan dan menangani kos sara hidup,” katanya.

Related Articles

Back to top button