Nasional

Kerajaan teliti keperluan wujud kerangka kawal selia AI – Fahmi

Kerajaan sedang meneliti keperluan untuk mewujudkan kerangka kawal selia teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengatasi masalah etika penggunaan berkaitan teknologi berkenaan, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.

Bercakap pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada program Public Sector Day Malaysia di Putrajaya hari ini, Fahmi berkata pewujudan kerangka itu akan membantu kerajaan memahami beberapa cabaran penggunaan AI memandangkan ia merupakan satu teknologi baharu.

“Ini perkara (teknologi) baharu dan kita perlu kumpulan tenaga pakar daripada agensi kerajaan serta industri untuk memahami beberapa cabaran …. AI mungkin akan bawa kesan kepada sektor pekerjaan.

“Ketika ini ramai sudah mula guna aplikasi AI, ada kewajaran bagi pihak kerajaan untuk meneliti keperluan mewujudkan suatu kerangka kawal selia,” katanya.

Bagi meningkatkan pemahaman rakyat terhadap AI, Fahmi mencadangkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mewujudkan program khas dengan mengundang Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai tetamu untuk mengulas mengenai AI dalam bahasa Melayu.

“Sejajar dengan perkembangan sektor teknologi, saya harap RTM boleh berbincang dengan DBP.

“Usaha ini boleh bantu untuk memperbanyak kosa kata berkaitan teknologi dalam bahasa Melayu …. Bila ada banyak kosa kata (mengenai teknologi) dalam bahasa Melayu, ia akan mudah difahami,” katanya.

Fahmi berkata, perkembangan bahasa perlu selaras dengan kemajuan teknologi bagi memastikan setiap teknologi baharu mudah difahami segenap lapisan masyarakat.

AI ialah teknologi yang meniru kepintaran otak manusia dengan kemampuan untuk belajar memperbaiki mutu kerjanya dari semasa ke semasa sehingga dapat berfungsi lebih cekap dan sempurna bagi melaksanakan sesuatu tugasan.

Related Articles

Back to top button