Politik

Pas dicabar kemuka dalil al-Quran larang kerjasama dengan DAP

Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mencabar pemimpin Pas mengemukakan dalil al-Quran dan hadis yang melarang parti Islam itu daripada menjalinkan kerjasama dengan DAP.

Menurutnya, cabaran itu dikemukakan kerana pendirian terkini Pas bertentangan dengan ketetapan berhubung kerjasama bersama DAP selama 14 tahun, antara 1999 hingga 2013.

“Apa dalil ketika itu yang membenarkan PAS dan DAP berkawan? Ayat mana? Hadis mana sirah mana yang membolehkan PAS, Islam berkawan (dengan DAP antara 1999 hingga 2013)? Kenapa dulu boleh, sekarang tidak?

“Kalau ia (kerjasama PAS dan DAP berpandukan) ajaran agama, percayalah ia tak akan berubah. Contohnya, zaman nabi, solat Subuh dua rakaat, diikuti Maghrib tiga rakaat serta Isyak empat rakaat dan kini ia masih kekal sama.

“Zaman nabi, Ramadan kita berpuasa, zaman sekarang pun kita berpuasa. Itu agama, tak berubah, tetapi kalau namanya memilih kawan politik, terasnya mesti sama iaitu duduk atas dasar keadilan, saling menghormati dan bersama mahu menolong rakyat.

“Selain itu, banteras kemungkaran dan mengajak kepada kebaikan serta mahu membina sifat mahmudah dan menolak sifat mazmumah. Inilah asas membolehkan kita duduk bersama, walaupun nama dia DAP,” katanya pada ceramah ‘Pentas Anak Muda N10 Seberang Jaya’malam tadi.

Sebagai rekod, Pas adalah parti komponen dalam Pakatan Rakyat membabitkan parti itu, DAP dan KEADILAN.

Muktamar Dewan Ulama Pas pada 2015 sebulat suara meluluskan usul tergempar oleh Ketua Dewan Ulama Pas Pahang Mokhtar Senik ketika itu untuk membatalkan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan DAP sekaligus memutuskan hubungan dengan parti berkenaan.

Usul tersebut dipercayai dibuat susulan kritikan DAP terhadap Presiden Pas, Abdul Hadi Awang.

Related Articles

Back to top button