Nasional

Skim veteran ATM bakal dibincangkan Isnin depan – PM Anwar

Kerajaan Perpaduan akan mengangkat agenda skim veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Mesyuarat Pertama Skim Perkhidmatan dan Persaraan yang akan diadakan Isnin depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah pertama kali itu akan dilaksana bagi mencari langkah untuk meningkatkan kedudukan pendapatan semua skim perkhidmatan termasuk veteran ATM berpencen mahu pun tidak berpencen yang jumlahnya agak besar.

“Sebelum ini, tak (pernah) dimasukkan skim veteran tanpa pencen di dalam kajian persaraan, ini kali pertama. Kata Ketua Setiausaha Negara, menimum enam bulan untuk mengkaji seluruhnya dan kita akan mengkaji implikasi kewangan (terhadap negara).

“Tetapi saya percaya, Insya-Allah, kita dapat sekurang-kurangnya menyelesaikan secara total (isu veteran ATM),” katanya pada Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM di di Wisma Perwira, Kuala Lumpur.

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang.

Sementara itu jelas Anwar, sistem persaraan dan perkhidmatan angkatan tentera sedia ada perlu dirombak, bagi memastikan masalah yang membelenggu golongan itu dapat diselesaikan.

Kerajaan jelasnya boleh memilih untuk menyalurkan bantuan tunai secara one-off kepada veteran seperti yang dilakukan sebelum ini, namun ia bukanlah langkah penyelesaian jangka panjang untuk menyelesaikan isu berbangkit.

“Kita boleh beri bantuan sara hidup tapi ini tidak menyelesaikan masalah keseluruhan veteran.

“Penamatan perkhidmatan (veteran ATM) sebelum tahun 2013 sahaja sudah melibatkan 89,898 veteran. Jumlahnya kalau kita biarkan ia akan menjadi lebih kronik,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan beliau akan mencadangkan kepada Jemaah Menteri supaya agensi kerajaan termasuk syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk mengenal pasti serta mengambil tanggungjawab membantu menyelesaikan masalah golongan veteran ATM.

Beliau juga memaklumkan telah mengadakan perbincangan bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Dr Zulkapli Mohamed dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican agar pandangan kesemua persatuan veteran termasuk Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) diambil perhatian.

“Saya tidak menjanjikan bulan bintang tetapi saya percaya, saya janjikan akan cuba sedaya upaya memberikan faedah dan kebaikan perubahan sedaya-upaya kita,” katanya.

Related Articles

Back to top button