Anwar

Syarikat pengendali p-hailing dipanggil bertemu PM Anwar pada 8 Ogos ini

Syarikat-syarikat pengendali perkhidmatan penghantaran makanan, minuman dan bungkusan menggunakan motosikal atau parcel hailing (p-hailing) akan dipanggil untuk bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijadualkan pada 8 Oogos ini.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Perdana Menteri sudah mengarahkan supaya satu pertemuan diadakan bersama syarikat-syarikat itu susulan perjumpaan beliau dengan rakan-rakan penghantar perkhidmatan p-hailing pada 22 Julai lalu, bagi memahami cabaran dihadapi mereka.

“Perdana Menteri telah mengarahkan supaya satu pertemuan susulan diadakan bersama syarikat-syarikat pengendali perkhidmatan p-hailing.

“Syarikat-syarikat pengendali p-hailing akan dipanggil untuk berjumpa dengan Perdana Menteri dalam satu pertemuan yang dijadualkan 8 Ogos ini,” menurut kenyataan itu.

Tambah MOT, Kerajaan Perpaduan sentiasa memberi perhatian terhadap isu kebajikan pekerja p-hailing dan terus komited dalam usaha memelihara kesejahteraan mereka di samping memastikan kemampanan pembangunan industri p-hailing selaras dengan konsep Malaysia Madani.

Pada 22 Julai lalu, Anwar meminta tempoh seminggu untuk beliau bertemu dengan syarikat p-hailing bagi membincangkan isu berkaitan kadar upah pengambilan dan penghantaran yang dikatakan semakin rendah.

Perdana Menteri berkata, beliau mahu mendapatkan penjelasan secara langsung daripada syarikat berkenaan berhubung situasi itu yang dilihat agak membebankan pekerja p-hailing.

Related Articles

Back to top button