Semasa

Kerajaan tiada rancangan hapus subsidi yuran pengajian di IPTA

Kerajaan Perpaduan tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menarik balik subsidi yuran yang dinikmati oleh pelajar tempatan di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) seluruh negara.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ia selaras komitmen kerajaan untuk memastikan semua rakyat tidak tercicir dalam mendapatkan akses pendidikan tinggi.

“Kalau kita lihat pengajian ekonomi contohnya, kos sebenar pengajian untuk tempoh empat tahun RM70,000 ke RM80,000 tetapi di universiti awam hanya RM2,000 ke RM3,000.

“Kalau di UiTM (Universiti Teknologi MARA) setiap semester hanya RM200, dua semester iaitu setahun bersamaan RM400, tetapi kos sebenar adalah beribu-ribu ringgit.

“Lerajaan akan teruskan subsidi yang diberikan kepada pelajar tempatan yang menuntut dalam universiti awam,” katanya pada semasa mengadakan lawatan kerja ke Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok Kedah.

Pada lawatan itu, Mohamed Khaled turut melancarkan Program SULUNG peringkat UUM yang merupakan inisiatif diperkenalkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bertujuan memberikan peluang dan kemudahan melanjutkan pengajian di menara gading kepada generasi pertama yang cemerlang dalam kalangan keluarga B40.

Dianggarkan secara keseluruhan seramai 10,000 pelajar mendapat pengecualian bayaran yuran di universiti awam dengan nilai keseluruhan RM30 juta bagi kemasukan pada tahun ini.

Sementara itu selain memberi subsidi yuran, kerajaan juga menyediakan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada penuntut yang mahu menyambung pengajian dengan jumlah pinjaman sehingga RM3.5 bilion setiap tahun.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut menyeru universiti di negara ini merangka perancangan dan strategi masing-masing bagi menjayakan kerangka Ekonomi MADANI khususnya dalam melahirkan modal insan serta melaksanakan penyelidikan.

Pelan kerangka ekonomi itu jelasnya tidak mungkin boleh dicapai sekiranya universiti tidak berjaya melahirkan modal insan sebagaimana yang dicita-citakan.

Related Articles

Back to top button