Pilihanraya

Manifesto Perpaduan Pulau Pinang dilancar

Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang malam tadi melancarkan Manifesto Perpaduan dengan 16 tema utama antaranya cakna kebajikan dan memperjuang sosioekonomi rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Manifesto Perpaduan negeri, Zairil Khir Johari yang membuat pembentangan itu memaklumkan secara keseluruhannya terdapat 50 manifesto yang mempunyai kesinambungan kepada dasar, polisi dan rekod prestasi kerajaan negeri selama 15 tahun.

Antara yang menjadi penekanan adalah menyalurkan bantuan ‘one off’ RM1,000 kepada setiap jemaah haji golongan B40 dibawah tema ‘Syiar Islam Terus Dipertahankan Berteraskan Kerangka Malaysia Madani’

Dalam pada itu, dibawah tema ‘Cakna Kebajikan Rakyat’ pula pasangan yang mendirikan rumahtangga akan mendapat bantuan ‘one off’ RM500 dibawah Program Mempelai Emas.

Kedua-dua manifesto itu antara intipati terbaharu yang diperkenalkan bagi meringankan beban rakyat yang memerlukan.

Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang Chow Kon Yeow, berkata Kerajaan Perpaduan yang terbentuk sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di hadapan.

“Apa yang pasti, kita ingin membuktikan bahawa kita tidak pernah mensia-siakan kepercayaan dan mandat yang diberikan rakyat Pulau Pinang kepada kita.

“Kita sedar dan yakin bahawa ikatan perpaduan ini bakal memberi segala kebaikan kepada rakyat Pulau Pinang menerusi manifesto yang bertunjangkan 16 tema utama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas Pelancaran Manifesto dan Pengenalan Calon-Calon Perpaduan negeri, di Pusat Konvensyen PICCA Butterworth Arena.

Jelasnya, 16 tunjang utama dalam manifesto yang diperkenalkan itu adalah beliau mahu terus memperjuangkan nasib rakyat sekiranya diberikan mandat untuk mentadbir sekali lagi Pulau Pinang.

“Kita ingin beritahu bahawa kita sentiasa memikul amanah yang diberikan, memastikan bahawa tiada pihak yang terpinggir atau dipinggirkan, prinsip negeri berkebajikan yang sentiasa menjadi pegangan dan pastinya kita membangun bersama-sama dalam percambahan sosioekonomi Pulau Pinang secara keseluruhan.

“Manifesto Perpaduan 2023 Pulau Pinang adalah sebuah mandat baru yang bukan hanya menyediakan negeri ini ke arah lonjakan kedua ekonomi baru sejajar dengan landasan ekonomi madani yang menyasarkan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) negara bercambah sebanyak enam peratus, malah ia juga terus menyediakan serta mempelbagaikan bantuan kepada golongan yang memerlukan tanpa mengira usia, latar belakang dan juga organisasi,” katanya

Related Articles

Back to top button