Semasa

REE: Saifuddin dedah gambar Sanusi bersama warga China

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Selasa membuat pendedahan terbaharu berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

Melalui satu sidang media di Pejabat KEADILAN Kedah di Alor Setar, Saifuddin menunjukkan gambar seorang warganegara China yang dikaitkan dengan kegiatan REE bersama Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam sebuah majlis.

Lelaki terbabit yang dikenali sebagai So Loi Fat itu dipercayai salah seorang daripada dua pekerja mahir yang didakwa dibawa Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah ke negeri ini.

Selain gambar, Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) itu turut mendedahkan dokumen permohonan Pas Lawatan Ikhtisas yang dimohon dan ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBI, Muhammad Sobri Osman.

“Ini surat permohonan Pas Lawatan Ikhtisas untuk dua warga China tersebut dengan tertulis majikannya MBI. Walaupun terdapat penafian oleh pengurusan tertinggi MBI berhubung perkara itu, saya ada bukti sebaliknya.

“Sekiranya ia palsu, mereka dialu-alukan membuat laporan polis kerana ini akan membolehkan siasatan dilakukan,” katanya.

Sementara itu Saifuddin menegaskan, walaupun Sanusi sebelum ini menafikan beberapa isu yang dikaitkan, namun surat ditandatangani Muhammad Sanusi dan CEO MBI itu jelas tertera nama dua warga China yang dibangkitkan sebelum ini.

“Terang ada surat dari Menteri Besar dan CEO MBI dengan nama dua warga China yang saya bangkitkan berkali-kali. Menteri Besar harus bertanggungjawab menjawab soalan yang dibangkitkan.

“Jangan kalih pada isu lain. Ini ruang dia berikan penjelasan dari sudut tatakelola sebuah kerajaan. Mengelak bukan satu pilihan buat Sanusi,” katanya.

Related Articles

Back to top button