Umum

Sultan Brunei adakan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia mulai hari ini

Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah akan mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia selama tiga hari bermula hari ini, sempena Rundingan Pemimpin Tahunan (ALC) ke-24 antara kedua-dua negara.

Kenyataan Wisma Putra memaklumkan, keberangkatan baginda akan diiringi Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, menteri Kabinet serta pegawai kanan kerajaan.

“Sultan Hassanal Bolkiah akan diraikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam satu Majis Sambutan Negara di Istana Negara pada 3 Ogos 2023.

“Ini akan disusuli dengan Kunjungan Mengadap ke atas Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Santapan Negara bagi meraikan Sultan Brunei serta delegasi baginda,” katanya.

Dalam lawatan itu, Sultan Hassanal Bolkiah dijadual menghadiri ALC bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan kemajuan kerjasama serta isu dua hala yang tertunggak.

“Sebagai mekanisme dua hala tertinggi antara Malaysia dan Brunei Darussalam, ALC akan memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk mengkaji semula kemajuan kerjasama dua hala dan membincangkan isu-isu tertunggak serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

“Seterusnya, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pemeteraian beberapa instrumen dua hala di antara kedua-dua negara,” katanya.

Wisma Putra berkata, lawatan berkenaan akan dapat memperkukuhkan lagi hubungan erat dan kerjasama yang wujud sekian lama antara kedua-dua negara, selain menjadi rakan kongsi di dalam ASEAN.

Brunei adalah rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia dan rakan dagang keenam terbesar di rantau ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM13.22 bilion (AS$2.98 bilion) pada tahun lalu, meningkat 68.4 peratus berbanding 2021.

Related Articles

Back to top button