Nasional

KRM73.45 juta dibelanjakan untuk baiki jalan sepanjang 6 bulan pertama tahun ini – KKR

Sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah membelanjakan sebanyak RM73.45 juta untuk menyelenggara jalan berlubang dan perabot jalan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerja-kerja penyelenggaran itu meliputi semua jalan Persekutuan di seluruh negara.

Tambahnya, perbelanjaan itu merupakan sebahagian daripada peruntukan kerajaan untuk Kempen My Jalan berjumlah RM217.80 juta, yang bertujuan menaik taraf infrastruktur keselamatan jalan raya.

“Setakat 30 Jun lepas, sebanyak 2,950 jalan berlubang telah diselenggara, selain kerja baik pulih perabot jalan termasuk rel adang, papan tanda, garis jalan pudar, longkang, tiang lampu, pembahagi jalan dan pembentungan, serta kerja pemotongan,” jelas Ahli Parlimen Parlimen Kapit itu.

Mengulas lanjut isu keselamatan pengguna jalan raya beliau berkata, KKR sedang merangka kempen, bagi mengatasi masalah utama melibatkan jalan berlubang, lampu jalan, perabot jalan.

Kempen tersebut jelasnya akan melibatkan pelbagai pihak terutama pemain industri, agensi kerajaan dan swasta, bagi memastikan insfrastruktur berkenaan dalam keadaan baik bukan sahaja untuk keselamatan tetapi juga keselesaan pengguna.

Related Articles

Back to top button