Semasa

Malaysia-Brunei meterai MoU, kukuh kerjasama bidang belia, sukan dan kehakiman

Kerjasama bidang belia dan sukan antara Malaysia dan Brunei diperkukuhkan melalui pemeteraian dua memorandum persefahaman (MoU) di Putrajaya hari ini.

Turut dimeterai di Putrajaya sempena lawatan negara Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah selama tiga hari ke Malaysia itu ialah perjanjian triti berkaitan Pemindahan Antarabangsa Banduan (ITOP) serta isu membabitkan kehakiman syariah.

MoU membabitkan kerjasama dalam bidang belia dan sukan ditandatangani oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, serta Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan Brunei Datuk Seri Setia Awang Nazmi Mohamad.

Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Datuk Mohd Amran Mat Zain pula menandatangani MoU berkaitan kehakiman syariah dengan Ketua Hakim Syarie Brunei Datuk Paduka Seri Setia Awang Salim Besar.

Perjanjian triti ITOP pula ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan rakan sejawatannya dari Brunei Datuk Seri Setia Awang Ahmaddin Abdul Rahman.

Pertukaran MoU dan perjanjian triti itu berlangsung di Seri Perdana di sini yang disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei.

Terdahulu, keberangkatan tiba Sultan Brunei di kediaman rasmi perdana menteri itu pada kira-kira pukul 4 petang disambut Anwar dengan diiringi tarian tradisional.

Sultan Brunei dan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha berangkat tiba di Pangkalan Udara Subang pada Rabu bagi memulakan lawatan negara ke Malaysia selama tiga hari sehingga esok.

Menurut kenyataan Wisma Putra, lawatan negara Sultan Hassanal Bolkiah itu bertepatan dengan Perundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei (ALC) ke-24 yang akan dihadiri oleh Baginda dan Anwar.

Related Articles

Back to top button