Semasa

Malaysia Madani dibawa Anwar selaras visi Tun Dr Ismail

Konsep Malaysia Madani yang diperkenal oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah selaras dengan falsafah, prinsip dan visi Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman.

Kamariah Shakirin Mustafa yang merupakan cucu kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, persefahaman dan permuafakatan yang telah dimeterai dalam Perlembagaan negara sewaktu mencapai kemerdekaan.

Ia jelasnya perlu sentiasa dijunjung oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan perkara seperti apa yang cuba diterapkan dalam konsep Malaysia Madani.

“Apabila bercakap mengenai berkaitan visi datuk saya dan konsep Malaysia Madani, kita perlu lihat dasar dan apa yang beliau perjuangkan, selepas itu lihat pula apakah Malaysia Madani, saya rasa kita perlu lihat kepelbagaian budaya dan dasar yang ada pada hari ini,” katanya.

Kamariah berkata begitu kepada pemberita selepas Majlis Memperingati Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur pada Rabu.

Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr Ismail Al-Haj: Tonggak Perpaduan Negara julung kali diadakan sempena Bulan Kebangsaan bagi mengenang jasa serta mengangkat pemikiran Dr Ismail sebagai figura penting dalam tadbir urus dan perpaduan negara.

Penganjuran majlis itu, yang diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan Digital, adalah hasil kerjasama strategik pelbagai jabatan serta agensi termasuk Pejabat Perdana Menteri.

Sementara itu, Kamariah turut merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzildi atas penganjuran majlis yang begitu gemilang dengan dihadiri hampir 10,000 orang termasuk Menteri-Menteri Kabinet.

“Setakat ini, saya dan ahli keluarga tidak pernah melihat penghargaan yang diberikan kepada Allahyarham seumpama ini dan perkara ini amat menyentuh hati saya,” katanya dipetik.

Related Articles

Back to top button