Menteri dan Ahli Parlimen disaran lakukan saringan kesihatan
Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan semua jemaah menteri dan ahli Parlimen untuk menjalankan saringan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali.
Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyuarakan perkara sama dalam mesyuarat kabinet yang diadakan semalam.
“Kita memperingatkan semua ahli parlimen untuk menjaga kesihatan masing-masing. Saya tak pasti kalau sesi sebelum ini tapi untuk sesi kali ini memang kita telah pun mengemukakan cadangan ini.
“Cadangan itu telah dilakukan oleh speaker Dewan Rakyat tempoh hari dan kita dalam jawantankuasa ANMS juga yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri pada tempoh hari ada juga yang menyarankan untuk ahli-ahli parlimen dan semua pekerja untuk menggalakkan melakukan saringan kesihatan,” katanya.
Dr Zaliha sebelumnya ditemui pemberita sele[as merasmikan Majlis sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Kementerian Kesihatan 2023 di Putrajaya.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan, sebagai menggalakkan usaha itu pihaknya akan melaksanakan program serta aktiviti kesihatan khususnya saringan kesihatan pada sesi pembukaan parlimen yang akan datang.
Beliau juga berharap semua ahli parlimen mengambil ikhtibar pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.