Nasional

PM Anwar nyata komited selesai isu kemiskinan, pendidikan komuniti India

Isu-isu berbangkit berkaitan masyarakat India akan diselesai dengan baik oleh Kerajaan Perpaduan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berucap pada majlis perjumpaan khas bersama ahli parti MIC di Ibu Pejabat MIC, Petaling Jaya, Selangor pada Rabu, Anwar turut menyatakan komitmen kerajaan untuk membangunkan dasar yang akan membantu menangani isu bukan sahaja masyarakat India, tetapi buat semua rakyat Malaysia.

“Kita tahu bahawa majoriti mereka yang berada dalam kemiskinan adalah orang Melayu tetapi kita perlu menghadapi realiti bahawa yang paling miskin daripada orang miskin kebetulan adalah etnik India,” kata Anwar.

“Oleh itu, kita tidak memerlukan dasar Melayu atau India untuk membasmi kemiskinan, kita memerlukan dasar Malaysia yang memenuhi keperluan untuk menangani kemiskinan bagi setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum,” katanya.

Pada ucapannya juga, Anwar sekali lagi menekankan kepentingan untuk rakyat di negara ini bersatu padu tanpa mengira perbezaan kaum.

Ini kerana jelasnya, perpaduan antara kaum adalah kunci dalam menangani isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R).

“Saya tidak faham kenapa kawan-kawan kita sendiri di seberang yang menggunakan isu sensitif seperti isu ‘Allah’ atau mengatakan pilihan raya adalah mengenai survival Melayu dan mendakwa bukan Melayu mengambil alih negara.

“Ini bukan politik, ini permainan berbahaya kerana ia bukan isu politik partisan mengenai pilihan raya negeri tetapi mengenai survival negara kita.

“Kita telah melihat banyak negara runtuh akibat persengketaan awam dan peperangan yang timbul daripada perbincangan seperti ini. Kita perlu menamatkannya secepat mungkin untuk mengelakkan perkara seperti itu berlaku di sini dengan bersatu sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mengakui masalah kekurangan perwakilan kaum India di negara ini dan akan berbincang dengan rakan-rakannya termasuk Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menangani isu tersebut.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button