PRK Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram ditetapkan 9 September
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 9 Sept depan sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Johor.
Keputusan itu dibuat SPR melalui mesyuarat diadakan hari ini susulan kekosongan kerusi itu setelah penyandangnya yang juga Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada 23 Julai setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.
Pada sidang media di ibu pejabatnya pagi ini, Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh berkata penamaan calon pula akan diadakan pada 26 Ogos, manakala pengundian awal ditetapkan pada 5 Sept.
Seramai 166,653 pemilih berdaftar di Pulai manakala 40,379 di Simpang Jeram, dengan permohonan pengundi luar dibuka secara dalam talian mulai hari ini sehingga 12 Ogos depan.
SPR turut menjangkakan kos untuk menjalankan PRK Pulai menelan belanja RM4.5 juta manakala RM1.5 juta bagi Simpang Jeram.
“Tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 26 Ogos 2023 sehingga jam 11.59 malam, 8 September 2023,” katanya pada sidang media di Putrajaya pada Khamis.
Pada PRN Johor 2022 Salahuddin, 61, yang kemudian dilantik Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dalam Kerajaan Perpaduan menang kerusi Simpang Jeram dengan majoriti 2,399 undi dalam pertembungan empat penjuru menentang Zahrul Salleh dari PN, Lokman Don dari BN dan Mahaizal Mahmor dari Pejuang.