Semasa

KPDN patahkan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sekali lagi membuktikan kesungguhan pihaknya memastikan aktiviti penyelewengan subsidi yang merugikan negara dibenteras.

Terbaharu, KPDN pada Rabu berjaya menumpaskan sendiket penyelewengan minyak masak bersubsidi di Rawang, Selangor melibatkan rampasan 12,000 kilogram minyak masak.

Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDN Shamsul Nizam Khalil berkata sembilan warga asing termasuk dua wanita, dan enam lelaki tempatan ditahan dalam serbuan berasingan di Pusat Perdagangan Sri Pagi Sungai Choh dan Kawasan Perindustrian Anugerah Suria, Rawang.

“Ketika serbuan di sebuah premis tanpa nama di Pusat Perdagangan Sri Pagi Sungai Choh itu, beberapa individu didapati sedang leka melakukan aktiviti memotong bungkusan minyak masak paket 1kg bersubsidi untuk dipindahkan ke dalam sebuah tangki jenis poly tank.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan membeli minyak masak paket 1kg bersubsidi, kemudian dipindahkan ke dalam sebuah tangki dan dibotolkan semula sebelum dijual mengikut harga terkini pasaran minyak masak tidak bersubsidi,” katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata ketika serbuan di sebuah premis disyaki menjalankan aktiviti jual beli minyak masak terpakai di Kawasan Perindustrian Anugerah Suria pula, beberapa individu didapati sedang leka melakukan aktiviti pemindahan minyak masak ke dalam sebuah lori tangki.

“Modus operandi premis adalah berselindung di sebalik aktiviti jual beli minyak masak terpakai dan berurusniaga dengan barang kawalan iaitu minyak masak tanpa kebenaran. Pemeriksaan lanjut di premis itu juga menemukan sejumlah minyak masak baharu yang telah siap diproses disyaki akan dijual di pasaran,” tambahnya.

Beliau berkata nilai rampasan dari dua serbuan berasingan itu dianggarkan berjumlah RM60,000.

Susulan itu kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes berkenaan akan dibuat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti itu serta mengenal pasti rantaian pengedaran minyak masak terbabit.

Shamsul Nizam berkata syarikat berkenaan juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613).

Related Articles

Back to top button