PM Anwar dan Sultan Hassanal nyata pendirian bersama isu ASEAN, Myanmar dan Palestin
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei, Hassanal Bolkiah pada Khamis mengambil pendirian dan menekankan mengenai keperluan untuk ASEAN kekal bersatu dan relevan.
Kedua-dua pemimpin berkata demikian dalam satu kenyataan bersama selepas Rundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei ke-24 di Putrajaya.
Keputusan itu adalah untuk mengekalkan peranan utama ASEAN sebagai kuasa penggerak utama yang berkesan dan responsif dalam menangani peluang dan cabaran masa depan.
“Mereka seterusnya menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan Rakan Dialog ASEAN dan mengekalkan pendekatan pandangan luar ASEAN berdasarkan kepentingan dan faedah bersama untuk memajukan lagi usaha pembinaan Komuniti ASEAN,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua pemimpin turut mengesahkan komitmen untuk bekerjasama rapat dalam ASEAN dan rakan kongsi luar yang lain, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menggalakkan kemajuan dalam pelaksanaan 5PC secara keseluruhannya, selaras dengan keputusan pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-42, dengan matlamat akhir mencari penyelesaian yang aman dan berkekalan, demi kepentingan rakyat Myanmar.
Selain perkara itu, pemimpin kedua negara turut membincangkan perkembangan terkini di Myanmar dan menyuarakan kebimbangan mengenai keganasan yang berterusan di negara itu.
Susulan itu mereka menyeru Myanmar untuk melaksanakan sepenuhnya Konsensus Lima Perkara (5PC) dan mengulangi pendirian bersatu bahawa 5PC kekal sebagai rujukan utama ASEAN untuk menangani krisis politik di Myanmar.
Turut dibincangkan adalah mengenai situasi di wilayah Palestin yang diduduki dan menyuarakan kebimbangan mereka memandangkan tahun ini menandakan ulang tahun ke-75 Nakba, menurut kenyataan itu.
“Para pemimpin menyeru Majlis Keselamatan PBB (UNSC) dan anggota masyarakat antarabangsa untuk menuntut pihak yang menduduki menghentikan jenayah kejam terhadap kemanusiaan serta dasar apartheid terhadap rakyat Palestin, dengan tujuan untuk menamatkan pendudukan dan mencapai keamanan yang menyeluruh dan berkekalan di Timur Tengah, selaras dengan undang-undang antarabangsa dan semua resolusi UNSC yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua pemimpin turut menegaskan semula pendirian mereka yang tidak berbelah bahagi bahawa rakyat Palestin berhak mendapat hak mereka untuk sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.