Semasa

Saifuddin dedah gambar Sanusi di tapak perlombongan REE

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Khamis mendedahkan beberapa gambar menunjukkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengadakan lawatan tapak di Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik pada 19 Februari lalu.

Ia selepas Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu sebelum ini mendakwa tidak mempunyai pengetahuan mengenai kecurian unsur nadir bumi (REE) di Kedah seperti didakwa.

Pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra di Kubang Pasu, pada Khamis, Saifuddin menegaskan pendedahan gambar itu sekali gus membuktikan Muhammad Sanusi sememangnya mempunyai pengetahuan mengenai kecurian tersebut namun hanya mendiamkan diri dan tiada tindakan diambil berkaitan perkara terbabit.

“Menteri Besar telah turun dan menyaksikan sendiri insiden kecurian ini, dia tengok sendiri bagaimana kemusnahan kawasan, bagaimana cari gali yang secara intensif dilakukan melibatkan kawasan yang demikian luas.

“Namun daripada tarikh itu tiada tindakan yang benar-benar serius telah diambil oleh beliau setelah usai lawatan ke lokasi kejadian,” katanya.

Sementara itu Saifuddin menyatakan rasa kesal terhadap sikap Muhammad Sanusi yang bukan hanya sekadar berdiam diri malah berterusan menafikan bahawa beliau mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan.

“Saksikan dalam banyak-banyak ucapan beliau dalam YouTube dan media sosial, dengan selamba beliau menafikan dan berulang kali sebut tiada pengetahuan tentang insiden kecurian ini

“Ini sebenarnya menimbulkan kebimbangan yang serius tentang isu ketelusan dan akauntabiliti,” katanya.

Awal minggu ini, Saifuddin menunjukkan gambar Sanusi bersama seorang individu yang dikatakan bernama So Loi Fat, yang didakwa salah seorang daripada dua individu berkemahiran dibawa masuk oleh Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI Kedah) untuk melombong REE.

Related Articles

Back to top button