Martabatkan nasib melalui pendidikan, Agong seru pupuk semangat perpaduan
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan semua pihak agar terus memastikan perpaduan rakyat negara ini terpelihara.
Pada pembukaan Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-97 di Shah Alam hari ini, Baginda bertitah perjuangan untuk memartabatkan bangsa tidak seharusnya mengakibatkan kurangnya berlaku perhubungan dalam kalangan masyarakat pelbagai bangsa sehingga mengugat semangat perpaduan yang akhirnya mencetuskan polarisasi kaum.
“Polarisasi kaum membawa implikasi sosio-budaya yang luas dan jika tidak dibendung akan mengundang unsur radikalisme dan ekstremisme sehingga mewujudkan skala pertentangan yang besar dalam masyarakat.
“Justeru, apa juga batasan pemisah, jurang perbezaan dan lautan prasangka, perlu segera direntasi dalam usaha melahirkan masyarakat masa hadapan yang hidup penuh keharmonian,” titah baginda.
Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong menyeru seluruh institusi pengajian tinggi awam dan swasta untuk memainkan peranan bagi mewujudkan semangat akomodasi antara kaum yang dalam masa sama tidak menghalang pembentukan satu identiti nasional.
“Kita boleh terus memartabatkan nasib dan masa hadapan kaum masing-masing menerusi pendidikan, tetapi dalam masa sama tidak mengenepikan usaha ke arah pembentukan satu identiti nasional.
“Sesungguhnya semangat akomodasi antara kaum dan kesepaduan dalam kepelbagaian adalah ciri demokrasi Malaysia yang paling bestari. Tanpanya, apa juga usaha ke arah membangunkan negara ini menjadi maju tidak akan menjadi kenyataan,” ujarnya Baginda.
*Akomodasi merupakan proses dimana setiap kumpulan etnik menyedari serta menghormati norma dan nilai kumpulan etnik lain dan tetap mempertahankan budaya hidup masing-masing.