Pilihanraya

PRN: PM yakin rakyat akan pilih politik stabil, tolak pandangan ekstrem

Dakwaan Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan kononnya gelombang Perikatan Nasional (PN) lebih kuat berbanding sokongan terhadap Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini hanyalah kenyataan politik semata-mata.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, beliau yakin sokongan rakyat terhadap PH amat positif ketika ini.

Keyakinan itu berdasarkan sambutan yang ditunjukkan oleh rakyat setiap kali beliau turun padang.

“Tak mengapalah, itu kenyataan politik (Takiyuddin), saya di Kedah semalam, sambutan luar biasa baik. Kita tak boleh nafikan.

“Saya yakin akhirnya rakyat akan memilih politik yang stabil dan menolak pandangan pelampau dan ekstrem, di samping memilih politik yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Anwar berkata begitu ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke-16 di Bukit Mertajam hari ini.

Takiyuddin baru-baru ini dilapor sebagai berkata, gelombang PN di enam negeri memberi isyarat jelas Kerajaan Perpaduan akan turun takhta pemerintahan nanti.

Sebagai rekod, apa-apa keputusan pada PRN kali ini tidak memberi sebarang kesan kepada pentadbiran di Peringkat Persekutuan kerana ia hanya membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri dan bukan kerusi Parlimen.

Related Articles

Back to top button