Semasa

Tak wajar cuba kelirukan rakyat, Timbalan Menteri gesa Harakahdaily minta maaf

Media rasmi milik Pas, Harakahdaily digesa membuat permohonan maaf susulan satu laporan mereka yang cuba mengelirukan orang ramai.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Teo Nie Ching mengemuka tuntutan itu selepas Harakahdaily mengeluar laporan yang mendakwa gambar ikonik Perdana Menteri Anwar Ibrahim bermata lebam dan mengangkat tangan yang dirakam pada 1998 sebagai disunting.

“Harakah sewajarnya memohon maaf kepada para pengamal media veteran yang menjadi saksi kejadian, selain memohon maaf kepada jurugambar terbabit kerana telah memfitnah hasil kerja beliau.

“Bukan itu sahaja, Harakah wajar membuat permohonan maaf terbuka kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seluruh rakyat Malaysia atas usaha dangkal untuk cuba memperbodohkan khalayak umum,” katanya.

Semalam Agensi berita antarabangsa, the Associated Press (AP) mengesahkan gambar ikonik memaparkan imej Anwar Ibrahim mengangkat tangan pada 1998 adalah hasil “edit”

Malah jurugambar AP, Ed Wray mengesahkan Anwar memang mengangkat tangan selama kira-kira dua saat, sebelum masuk ke kenderaan polis.

Ketulenan gambar itu turut disahkan Jurugambar AP Vincent Thian yang mengimbas negatif filem dari kamera Wray.

Bekas wartawan foto Reuters Zainal Abdul Halim, yang terlepas merakam gambar anwar di luar perkarangan mahkamah Petaling Jaya pada 30 September 1998 turut mengakui dia melihat tangan Anwar naik.

Sementara itu Teo menegaskan pembohongan yang dilakukan Harakahdaily tidak sewajarnya berlaku pada era teknologi maklumat yang mana maklumat sahih boleh disahkan dengan mudah.

“Saya kasihan melihat terdesaknya Pas yang terus menerus membina naratif palsu demi menyerang ketokohan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Parti ini masih begitu laparkan publisiti murahan berasaskan fitnah dan kepalsuan. Tiba-tiba mencetuskan fitnah kononnya gambar Anwar Ibrahim mengangkat tangan kepada penyokong dengan mata yang lebam pada tahun 1998 adalah kerja suntingan.

“Tindakan Harakahdaily ini sangat kebudak-budakan dan memalukan profesyen kewartawanan,” katanya dalam kenyataan
.

Related Articles

Back to top button