Nasional

PM akan pengerusikan mesyuarat bincang penyelarasan gaji minggu depan

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali telah menetapkan bahawa satu jawatankuasa akan bermesyuarat bagi membincangkan penyelarasan gaji minggu depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan mempengerusikan mesyuarat itu berkata, ia langkah pertama kali oleh pentadbirannya bagi mengkaji secara keseluruhan skim perkhidmatan dan saraan penjawat awam.

Turut akan dibincangkan pada mesyuarat itu nanti adalah berhubung isu gaji dalam kalangan graduan di negara ini.

“Semua perkara ini kita akan ambil kira. Umumnya, kadar upah dan gaji penjawat awam rendah, termasuk polis dan tentera, serta tentera yang tidak berpencen. Insya-ALLAH dengan keupayaan ekonomi, kita akan naikkan secara berperingkat.

“Secara tradisinya, jawatankuasa ini sepatutnya bermesyuarat 10 tahun sekali, tapi sekarang dah 12 tahun jawatankuasa ini tidak bermesyuarat,” katanya.

Beliau ditemui selepas memberi ucapan perasmian di Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke-16 di Bukit Mertajam pada Sabtu.

Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.

Terdahulu dalam ucapannya di majlis itu, Anwar berkata, kemajuan ekonomi negara dianggap tempang jika tidak mengambil kira keterangkuman masyarakat terutamanya mereka yang terpinggir.

“Sementara kita akui bahawa negara harus dipacu dengan mengambil kira kepentingan meritokrasi, tapi kita tidak boleh mengetepikan masyarakat yang tidak berkeupayaan untuk bersaing dalam keadaan adil,” katanya.

Persidangan tahunan anjuran Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), UKM bertemakan ‘Ketahanan dan Keterangkuman dalam Memacu Pemulihan Ekonomi di Era Ketidakpastian Geo-Politik’ itu disertai kira-kira 350 orang terdiri daripada kakitangan pentadbiran dan profesional dari sektor awam dan swasta.

Related Articles

Back to top button