Politik

UPKO akan setia dengan K’Jaan Perpaduan, tak dapat terima konsep politik PN

Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) memberi jaminan untuk terus kekal dan setia bersama Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presidennya, Datuk Ewon Benedick, berkata apa sahaja keputusan dicapai Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negara pada Sabtu depan, ia tidak akan mengubah pendirian tersebut.

Gabungan kerajaan yang membentuk Kerajaan Perpaduan ketika ini jelasnya adalah yang terbaik berbanding Perikatan Nasional (PN) bagi membawa negeri Sabah serta Sarawak terus maju bersama kerajaan Persekutuan.

UPKO tegasnya tidak dapat menerima cara PN berpolitik yang menggunakan sudut pandang sesuatu kaum dan agama sahaja sehingga kaum dan agama lain seolah-olah tidak mempunyai tempat.

“Tetapi dalam Kerajaan Perpaduan, ini semua diberi ruang, sebabnya bagi masyarakat Sabah dan Sarawak menjunjung apa yang ada dalam Perlembagaan, agama Islam agama rasmi, Bahasa Melayu bahasa kebangsaan dan Yang di-Pertuan Agong adalah raja kita semua.

“Bagaimana, UPKO boleh sokong satu gagasan politik (PN) yang pandangan partinya tidak membantu Sabah dan Sarawak untuk terus maju bersama rakyat Malaysia yang lain,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata begitu selepas Majlis Ramah Mesra Usahawan dan Kontraktor bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, di Restoran Dangau Rimba, dekat Tanjung Karang pada Sabtu.

UPKO adalah parti komponen dalam PH, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lepas, parti itu memenangi dua kerusi iaitu Penampang yang dimenangi Ewon dan Tuaran oleh Datuk Seri Wilfed Madius Tangau.

Related Articles

Back to top button