KPM akan berusaha realisasi hasrat PM untuk wujudkan sekolah bagi anak-anak miskin
Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil maklum hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar untuk memperkenalkan jenis sekolah baharu yang menyasarkan kepada anak-anak daripada golongan paling miskin di negara ini.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata kementeriannya akan berusaha merealisasikan konsep yang membabitkan mekanisme khusus itu benar-benar berjaya dan menjangkakan projek rintis sekolah baharu untuk golongan termiskin di negara ini dijangka dapat dilaksanakan seawal tahun depan.
.
“Disebabkan sekolah ini adalah program khas, mesti ada hala tuju, kaedah dan mekanisme jelas untuk memastikannya benar-benar berjaya. Apabila disebut sebagai khusus untuk anak miskin, pendekatannya juga pasti ada sedikit berbeza dalam usaha menjayakannya.
“Sebenarnya sekolah untuk anak-anak miskin ini memang sentiasa dalam perancangan dan kita akan maklumkan sedikit masa lagi untuk pastikan sekolah ini benar-benar siap untuk beroperasi,” katanya selepas merasmikan Program Sekolah Dalam Hospital (SDH) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Anwar pada Sabtu, ketika menyatakan hasrat agar sekolah itu diwujudkan berkata, pelaksanaan jenis sekolah berkenaan akan berpandukan kerangka sekolah menengah sains serta berasrama penuh bagi membolehkan golongan berkenaan berpeluang mendapat akses pendidikan, walaupun keputusan peperiksaan mereka kurang memberangsangkan.
Melalui langkah itu jelas Anwar ia akan memberi akses pendidikan yang adil dan manusiawi selain dapat memastikan tiada mana-mana golongan akan terciri.