Manifesto Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan dilancarkan
Gabungan Perpaduan Negeri Sembilan melancarkan manifesto mereka malam tadi dengan mengutarakan 70 inisiatif dalam sepuluh teras utama.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, manifesto berkenaan juga berdasarkan lima tekad bagi mencapai Negeri Maju, Ekonomi Mampan dan Rakyat Sejahtera.
“Kami dapat lancarkan satu manifesto hari ini, jawatankuasa manifesto telah banyak kali bersidang untuk memastikan bahawa satu manifesto yang baik dapat dilaksanakan dan Alhamdulillah kepimpinan di peringkat PH dan BN telah bersetuju dengan cadangan tersebut
“Manifesto ini adalah untuk rakyat Negeri Sembilan, inilah janji kami, apa yang dijanjikan ini dapat dilaksanakan mengikut keperluan dan kebolehan kerajaan negeri dalam melaksanakan manifesto ini. Kami tak mahu berjanji yang tidak dapat dilaksanakan, daripada segi kewangan dan kemampuan, kami mampu lakukan dengan baik, insya-Allah,” katanya di Seremban.
Turut hadir pada pelancaran itu adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, kepemimpinan peringkat negeri parti gabungan membentuk PH dan BN serta calon-calon yang bertanding mewakili kedua-dua parti tersebut di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.
Manifesto dinamakan sebagai Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan itu merupakan dokumen Aku Janji ditawarkan oleh PH dan Barisan Nasional (BN) yang akan dilaksanakan jika gabungan kedua-dua parti itu diberikan mandat untuk mentadbir kerajaan Negeri Sembilan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15, pada 12 Ogos ini.
Teras utama terkandung dalam manifesto itu antaranya meliputi bidang ekonomi dan pelaburan, pendidikan dan modal insan, kesejahteraan rakyat, belia dan wanita serta teras khusus untuk Felda.
Selain menawarkan Skim Sejahtera Rakyat , gabungan itu turut akan memberikan bantuan perkahwinan sebanyak RM500 kepada setiap seorang anak-anak Negeri Sembilan yang mendirikan rumah tangga kali.
Menerusi Skim Sejahtera Rakyat, turut ditawarkan sumbangan keceriaan tahunan sebanyak RM200 kepada warga emas berusia 70 tahun ke atas dan ibu tunggal berpendapatan bawah RM2,000.
Antara inisiatif lain yang terkandung manifesto Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan tersebut termasuklah menstruktur semula bandar-bandar kecil supaya lebih berdaya huni, mewujudkan program khas penguasaan Bahasa Inggeris kepada pelajar-pelajar Negeri Sembilan dan memberikan lesen percuma untuk tempoh lima tahun.
Turut ditawarkan, penyediaan 4,000 unit rumah harga mampu milik dalam masa lima tahun menerusi Program Perumahan 1 Keluarga 1 Rumah dan Perumahan Belia.