Semasa

REE: Sanusi digesa jawab isu surat kebenaran kepada Mahir Binari

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Ahad membuat pendedahan baharu berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

Dalam satu sidang media, beliau mendakwa satu surat izin memasuki hutan simpan simpanan Bukit Enggang telah diberikan kerajaan negeri kepada sebuah syarikat yang pernah dikompaun beberapa bulan sebelumnya akibat kesalahan mencuri diberikan.

Apa yang menjadi persoalan jelasnya adalah kawasan seluas 500 hektar yang dibenarkan itu adalah sama dengan lokasi dimana berlaku kecurian mineral iaitu di Kompartmen 12, Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik.

“Soalan saya apa justifikasi Sanusi untuk (surat bertarikh) 15 Mei, kerajaan negeri keluarkan lagi surat melalui JPNK (Jabatan Perhutanan Negeri Kedah) kepada Mahir Binari (Sdn Bhd) yang merupakan syarikat yang terlibat dalam insiden kecurian (REE) dan telah diambil tindakan.

“Mahir Binari milik Ho Chung Meng yang telah ditangkap pada Januari lalu.

“Jadi persoalannya setelah dia ditangkap dan bayar kompaun RM130,000 dan dia juga menurut Sanusi telah bayar kompaun bagi pihak Perbadanan Menteri Besar (MBI) berjumlah RM500,000 itu kenapa bagi lagi surat pada 15 Mei atas alasan pembangunan ladang hutan,” soalnya pada sidang media di Padang Terap itu.

Berikutan itu, Saifuddin Nasution mencabar Sanusi untuk menjawab persoalan tersebut.

“Kedah ini seolah-olah menteri besar dia boleh bagi jalan seluas-luasnya, buat lah apa saja. Saya nak tunggu apa maklum balas Sanusi dalam hal ini dan selepas itu saya akan bagi satu lagi pendedahan dalam sidang akhbar seterusnya,” katanya lagi.

Related Articles

Back to top button