Pilihanraya

Saya hantar Juwairiya untuk ajar pengkhianat – Anwar

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pengundi di DUN Hulu Kelang memberi pengajaran Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Anwar dalam Jelajah Perpaduan Madani di Taman Permata Hulu Kelang, malam tadi berkata, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor itu bukan sahaja telah mengkhianati beliau dan parti KEADILAN, malah kepada mandat diberi rakyat sebelum ini.

Justeru, Mohamed Azmin tegasnya wajar dibenamkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.

“Si kitol khianat, tinggalkan perjuangan jual maruah kerana habuan jawatan, tak sabar. Takut kalau Anwar jadi Perdana Menteri dia tak akan ke mana-mana, tak sabar, tak ada tawakal, khianat.

“Sepanjang jadi menteri dok komplot dengan Tun Dr Mahathir Mohamad macam mana nak jatuhkan, nak gagalkan transisi daripada Mahathir ke Anwar.

“…dan dia rasa dia akan jadi Timbalan Perdana Menteri akhirnya terlingkup sampai ke bawah. Ahli Parlimen pun terlepas, sekarang gagah nak pertahan jadi ADUN Hulu Kelang,” bidas Anwar.

Sementara itu jelas Anwar, beliau telah mengatur supaya calon Pakatan Harapan (PH) Juwairiya Zulkifli berdepan dengan Mohamed Azmin kali ini.

Juwairiya walaupun seorang wanita, namun dianggap tokoh yang tepat untuk mematahkan Azmin dengan mudah.

“Dekat Azmin ni kita hantar pemimpin wanita saja. Juwairiya patut bertanding tempat lain tapi saya fikir, tempat ini (Hulu Kelang) kita (PH) kena menang sebab itu kita letak tokoh yang mudah patahkan Azmin.

“Betul saya tak nafikan memang saya ambil keputusan, saya beritahu (Datuk Seri) Amirudin Shari hantar Juwairiya.

“Kita bukan setakat nak menang, kita nak di Hulu Kelang ajar orang khianat… kita letak Juwairiya sebagai calon yang menumpaskan pengkhianat itu.

“Orang yang paling dibenci dalam budaya Melayu ialah orang yang jual maruah untuk kepentingan peribadi dan mudah-mudahan pengundi Hulu Kelang belajar pengajaran sejarah Melayu itu.Kalau raja-raja dulu dia sula sampai mati seperti kisah Si Kitol dan Raja Mendeliar ,” tegas beliau.

Related Articles

Back to top button