ekonomi

Bincang pelaburan, Wang Yi bertemu Anwar Jumaat ini

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar China pada Jumaat ini.

Perdana Menteri berkata, Wang Yi baru-baru ini telah mengemukakan hasrat untuk mengadakan pertemuan di Putrajaya bagi membincangkan peluang pelaburan di negara ini, namun kemudian bersedia beralih ke Pulau Pinang bagi disesuaikan dengan jadual Ahli Parlimen Tambun yang ketika itu akan berada di Kedah dan Pulau Pinang.

“Wang Yi mahu mengadakan pertemuan dengan saya tetapi saya kata saya sibuk. Beliau mahu bertemu saya di Putrajaya tetapi saya ajak ke Pulau Pinang.

“China adalah antara negara terkuat di dunia sanggup untuk berjumpa saya, biarpun terdapat kekangan jadual yang padat.

“Saya akan berada di Kedah dan Pulau Pinang, Jumaat ini dan beliau menyatakan tak kisah mahu berjumpa di negeri mana-mana pun.

“Justeru, saya cadangkan pertemuan diadakan di Pulau Pinang, Jumaat ini,” katanya pada programramah mesra bersama masyarakat Sungai Bakap di Pulau Pinang pada Selasa.

Anwar telah melawat Beijing dan Hainan dari 29 Mac hingga 1 April lalu, dan telah mengadakan sidang kemuncak bersama Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menterinya Li Qiang.

Beliau juga telah menghadiri Forum Boao untuk Asia yang diketuai China dan mendapatkan pelaburan serta perkongsian besar daripada China mengenai projek perindustrian utama Malaysia.

Selepas pulang dari lawatannya, Anwar berkata Xi Jinping turut mengalu-alukan ideanya untuk menubuhkan Tabung Kewangan Asia bagi mengurangkan pergantungan rantau ini kepada dolar AS dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Related Articles

Back to top button