KPT sasar Malaysia jadi hub bakat dan pengetahuan antarabangsa
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam proses menyemak semula dasar berkaitan imigresen secara agresif, kata menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Menurut Mohamed Khaled, semakan itu sebagai sebahagian daripada strategi kementerian menjadikan negara sebagai hab bakat dan pengetahuan selari dengan komitmen kerajaan untuk meletakkan pendidikan tinggi sebagai pemangkin pembangunan,
Justeru, tambahnya kementerian menyasarkan untuk menarik dan memupuk minda dan individu berbakat dari seluruh dunia dan berfungsi sebagai pusat kecemerlangan untuk menjana, menyebarkan dan mengaplikasikan pengetahuan.
“Etos negara pada masa ini iaitu Malaysia MADANI adalah tentang mewujudkan nilai dan makna. Untuk itu, kami mengalu-alukan dan menjadi tuan rumah kepada semua bakat muda dan minda hebat dari seluruh dunia, dengan tangan terbuka,” katanya.
Beliau sebelumnya berucap pada majlis makan malam bagi membuka tirai Forum Presiden-Presiden Universiti UTM (UTM-UPF) 2023 di Johor Bahru pada Selasa malam yang turut dihadiri Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail.
Sementara itu, Mohamed Khaled menggesa pemimpin universiti dari seluruh negara dan dunia menjalin perkongsian dan kerjasama menerusi UTM-UPF selaras berhasrat menjadi Malaysia tuan rumah kepada seramai mungkin bakat dan minda yang hebat untuk belajar dan berkongsi kepakaran serta pengalaman dengan banyak negara.
“Dengan memperjuangkan kerjasama global, anda secara proaktif memotivasikan komuniti akademik untuk mencari peluang antarabangsa, pengaruh anda melangkaui bidang akademik.
“Dengan mempamerkan kesan positif terhadap perkongsian rentas sempadan, anda dapat menyokong kerjasama dan diplomasi antarabangsa, mempromosikan dunia yang lebih saling berkaitan dan aman. Untuk itu, marilah kita memulakan perjalanan kerjasama yang lebih tegas dan strategik untuk memajukan pendidikan tinggi dan memacu kemajuan negara ke tahap baharu,” katanya.
Forum UTM-UPF ke-13 dengan tema “Menginovasi Solusi: Melebar Horizon”, dihadiri oleh 25 presiden institusi pendidikan tinggi dan 115 perwakilan dari 11 negara.