Naik taraf LTSIP, PN jangan kelirukan pengundi – Rafizi
Tawaran Pas Kelantan untuk menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa jika Perikatan Nasional (PN) kekal mentadbir negeri itu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini dikritik.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, janji yang dikemukakan itu adalah sesuatu yang mustahil dan tidak berpijak di bumi nyata.
Ini kerana jelasnya urusan menaik taraf sesebuah lapangan terbang adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan bukan dibawah kerajaan negeri.
“Kita kena faham soal nak membuka (lapangan terbang), nak bagi hak pendaratan, nak naik taraf jadi lapangan antarabangsa atau serantau, itu semua di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Rafizi membuat penjelasan itu semasa ceramah Jelajah MADANI kawasan Dewan Undangan Negeri Sementa, dekat Klang pada Rabu malam.
Difahamkan seorang Exco Kelantan baru-baru ilaporkan berkata, langkah menaik taraf LTSIP kepada lapangan terbang antarabangsa akan memudahkan rakyat negeri itu untuk menggunakan penerbangan terus ke destinasi yang ingin dituju tanpa perlu ke Kuala Lumpur terlebih dahulu.
Sementara itu Rafizi mendakwa, PN sengaja menabur janji tersebut walaupun menyedari ia tidak mungkin dapat dilakukan bagi kemudiannya mengelirukan rakyat.
Janji yang ditabur bagi menarik sokongan itu akan akhirnya akan dijadikan alasan untuk menyalahkan Kerajaan Persekutuan jika ia tidak boleh dilaksanakan Pas sekiranya mereka terus mentadbir Kelantan kelak.