Negeri

Penduduk puji cara kerajaan Selangor tangani bencana banjir 2021, kata laporan

Penduduk Taman Sri Muda yang pernah dilanda banjir besar pada Disember 2021 memuji usaha dilakukan kerajaan Selangor dalam membantu memulihkan kehidupan mereka.

FMT dalam laporannya hari ini memetik kenyataan beberapa penduduk yang turut mencerikan tindakan diambil pentadbiran Datuk Seri Amirudin Shari ketika kejadian dan selepas bencana.

Mereka turut menyatakan rasa gembira dan berpuas hati dengan usaha-usaha dijalankan bagi meningkatkan daya tahan terhadap banjir pada masa hadapan.

K Kamala, 47, dipetik laporan itu berkata, ketika bencana itu melanda, kerajaan negeri telah menyalurkan bekalan penting, seperti makanan, pakaian, dan bantuan kewangan untuk membantu individu yang terjejas.

Seorang lagi penduduk, Chong Ye Kong, 70 walaupun merasakan kerajaan negeri tidak menawarkan banyak bantuan kewangan dan lewat menghantar usaha menyelamat tidak menyalahkan kerajaan negeri.

Jelasnya ia memandangkan kejadian bencana seperti itu sememangnya yang tidak boleh dijangka.

“Kerajaan tidak sempat untuk bertindak (ketika itu), tetapi sekarang ini, mereka sedang membersihkan longkang dan (melakukan) segala-galanya. Mereka sedang berusaha sekarang,” katanya.

Amran Noor, yang tinggal di flat PPR berhampiran SMK Taman Sri Muda, turut menyatakan bahawa kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai langkah pencegahan untuk meminimumkan kesan banjir pada masa hadapan.

“Mereka telah melebarkan longkang, membaiki yang rosak. Itu adalah untuk jangka pendek. Untuk jangka masa panjang, saya nampak mereka ada membina rumah pam berhampiran jambatan (kawasan kita),” katanya.

Memetik laporan sama, penduduk turut merakamkan penghargaan kepada bekas Adun Kota Kemuning V Ganabatirau

Menurut mereka, ketika bencana tersebut, kesungguhan dan prestasi Ganabatirau amat membanggakan, wakil rakyat itu bukan sahaja cepat memberi respon tetapi boleh dihubungi semasa dan selepas banjir.

Kini Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau tidak akan mempertahankan kerusinya pada PRN akan datang. Sebaliknya, ahli parti lain, S Preakas, akan menentang calon PN Chew Jyh Gang dari Gerakan dan K Gunasekaran dari Parti Rakyat Malaysia.

S Shanti, 40-an, dipetik laporan itu menyatakan harapan supaya Adun baharu yang akan dipilih bakal tekun seperti Ganabatirau dan mengekalkan rekod baiknya di kawasan itu.

Related Articles

Back to top button