Semasa

PM Anwar tunai janji, adakan pertemuan dengan syarikat p-hailing

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan syarikat pengendali p-hailing telah memberi komitmen untuk lebih telus, meneliti dan memperhalusi lebih lanjut pandangan golongan penghantar dalam penentuan dan pengiraan kadar upah bagi mereka, kata

Komitmen itu disuarakan menerusi satu pertemuan pada Selasa antara Anwar dengan 24 syarikat pengendali perkhidmatan berkenaan, yang turut dihadiri lima wakil pekerja sektor itu.

Turut hadir dalam pertemuan berkenaan ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil,; Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar serta pegawai-pegawai kanan kementerian.

Selain menyampaikan keluhan penghantar berkait isu kadar upah penghantaran, pertemuan berkenaan turut berkisar tentang pendapatan penghantar, jaringan keselamatan sosial serta keperluan latihan peningkatan kemahiran.

“Penelitian lanjut ini penting, bahawa dalam menambah baik kadar upah penghantar, kepentingan pengguna khususnya di kawasan luar bandar harus kekal diutamakan agar tidak terbeban di samping turut mengambil kira keupayaan syarikat,” kata Anwar dalam kenyataan.

Pertemuan semalam adalah bagi melunaskan janji dibuat Anwar pada 22 Julai lalu untuk memanggil semua syarikat pengendali p-hailing bagi memberikan penjelasan terhadap beberapa isu dihadapi penghantar makanan dan barang.

Ini selepas salah seorang penghantar makanan, menerusi program Sesi Temu Anwar sempena Program Himpunan Rider Madani Selangor mendakwa kadar penghantaran ketika ini semakin menurun daripada RM7 ke bawah, sekali gus mengurangkan pendapatan mereka.

Sementara itu Anwar turut memaklumkan , setelah mendengar pandangan kedua-dua belah pihak hari ini, Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk meningkatkan peruntukan bagi inisiatif dan latihan peningkatan kemahiran (upskilling) yang diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia.

“Saya telah menyampaikan keluhan penghantar terkait dengan isu kadar upah penghantaran. Saya turut mendengar pandangan dan aduan daripada syarikat pengendali yang beroperasi di luar Lembah Klang yang tertumpu kepada perkhidmatan di luar bandar,” katanya.

Related Articles

Back to top button