KPM dalam proses muktamadkan dasar wajibkan pendidikan hingga sekolah menengah
Kementerian Pendidikan (KPM) kini dalam proses memuktamadkan dasar baharu untuk mewajibkan pendidikan di peringkat sekolah menengah.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata melalui dasar baharu yang mewajibkan pembelajaran hingga peringkat Sijil Pelajaran Malaysia itu dijangka akan dapat menangani isu keciciran pelajar .
Beliau juga memaklumkan negara berdepan masalah enrolmen di peringkat prasekolah dan sekolah menengah tetapi bukan bagi sekolah rendah.
“Enrolmen sekolah rendah kita tiada masalah, 99 peratus, kita mencapai sasaran sejagat sebab kita ada dasar pendidikan wajib untuk sekolah rendah,” katanya ketika menjadi tetamu program ‘Wanita Question Time’ malam Rabu yang turut menampilkan Naib Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar.
Fadhlina berkata, bagi menyelesaikan masalah enrolmen di peringkat prasekolah, KPM kini memperluas bilangannya dengan menambah 118 lagi prasekolah baharu tahun ini.
Beliau berkata, ia sebagai langkah intervensi awal bagi menghalang keciciran murid di peringkat pendidikan awal kanak-kanak.
“Saya sangat bahagia melihat prasekolah dua sesi, ini menunjukkan prasekolah kita mendapat sambutan jauh lebih baik… sebab itu, kita kena dukung pendidikan awal supaya prasekolah berada di sekolah rendah,” katanya.
Fadhlina juga berkata, dalam usaha kerajaan memastikan tiada keciciran murid termasuk golongan berkeperluan pendidikan khas, intervensi awal penting kerana ia membantu mengenal pasti keperluan mereka dari umur empat hingga enam tahun lagi.