Semasa

Mohd Syahir gores hati dan perasaan masyarakat siam – Boon

Masyarakat Siam beragama Buddha kesal dengan kenyataan dibuat Ahli Parlimen Bachok, Mohd. Syahir Sulaiman yang disifatkan mereka sebagai tidak sensitif terhadap agama itu.

Ia susulan kenyataan Mohd Syahir bahawa “sami menyebutkan minum arak dibolehkan dalam agama Buddha”, dalam atu rancangan debat Debat Model Ekonomi Baharu yang disiarkan sebuah stesen penyiaran semalam.

“Kenyataan itu tidak benar sama sekali kerana larangan minum arak antara ajaran dasar moral agama Buddha.

“Kami seluruh masyarakat Siam yang beragama Buddha kesal dan mengecam kenyataan dibuat pemimpin Pas itu serta menganggapnya keterlaluan, tidak sensitif serta tidak menghormati institusi dan agama Buddha,” kata Presiden Dewan Perniagaan Bumiputera Siam, Datuk Seri Boon Som Inong.

Boon berkata, Mohd Syahir telah melukakan hati dan menimbulkan kemarahan seluruh masyarakat Siam dan penganut agama Buddha di negara ini dan wajar menarik balik kenyataannya dan membuat pemohonan maaf secara terbuka kepada seluruh masyarakat Siam di Malaysia.

“Jika beliau enggan berbuat demikian, kami akan membuat laporan polis terhadapnya,” jelasnya.

Sementara itu Bonn berpendapat kenyataan pemimpin Pas itu sebenarnya ialah percubaan untuk mengheret institusi sami dalam kancah politik.

“Sehubungan itu, kami menyeru kepada semua parti politik di negara ini supaya memahami kedudukan dan sensitiviti ini. Mereka sepatutnya menghormati institusi sami dan tidak melakukan percubaan untuk mengheret institusi ini ke dalam kancah politik.

“Kami percaya setiap agama mengajar pengikutnya melakukan kebaikan dan menghindari daripada melakukan kemungkaran. Setiap agama melarang pengikutnya menghina, mencaci, memfitnah, memaki hamun dan mencarut,” ujarnya.

Tambahnya, pihaknya juga menyeru supaya seluruh rakyat mengamalkan sikap saling memahami dan menghormati antara satu sama lain kerana ia asas kepada perpaduan masyarakat dalam negara berbilang kaum dan bangsa seperti Malaysia.

“Kami berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang cuba menjejaskan keharmonian serta ketenteraman dalam kalangan masyarakat,” tambahnya lagi.

Related Articles

Back to top button