Semasa

Rangsang ekonomi dengan berhutang hanya burukkan keadaan ekonomi negara – Rafizi

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengingatkan bahawa sebarang tindakan merangsang ekonomi secara berhutang hanya akan membawa bala kepada generasi akan datang.

Merujuk kepada pentadbiran terdahulu, Rafizi menegaskan ia bukan sahaja tidak akan menyelesaikan masalah ekonomi, malah hanya menjadikan negara semakin ketinggalan daripada pesaing, gaji yang dibayar terlalu rendah dan kelemahan kewangan kerajaan.

Tindakan populis dengan sering menghulurkan wang dan subsidi untuk meredakan kos sara hidup tanpa melakukan perubahan dasar juga jelasnya tidak mampu menyelesaikan masalah sedia ada dihadapi rakyat.
“Tan Sri Muhyiddin Yassin cukup gemar mengumumkan pakej-pakej rangsangan. Terbaharu, beliau mengumumkan pakej rangsangan untuk Selangor tetapi rakyat perlu tahu jika dibuat secara berhutang, ia hanya meninggalkan bala kepada generasi muda yang akan menanggungnya,” katanya pada Debat Model Baharu Ekonomi Malaysia bersama Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman pada Rabu malam.

Tambah Rafizi, pendekatan kerajaan sekarang berbeza dengan apa yang dilakukan pentadbiran Muhyiddin.

Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri hari ini melaksanakan dasar-dasar ekonomi yang baharu bagi mencipta lebih banyak peluang untuk menarik pelabur dari luar negara.

“Dasar gaji progresif yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim misalnya, adalah bertujuan menaikkan kadar gaji pekerja swasta dengan kerjasama majikan.

“Dasar gaji progresif ini telah dilancarkan dan kerajaan mampu membangunkan program ini dalam tempoh lapan bulan sedangkan mereka 33 bulan, tidak ada penyelesaian,” tambahnya.

Menyentuh cara memperkukuh semula ekonomi negara, beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan turut menekankan pentingnya untuk bakat-bakat baru yang berinovasi dan bernilai tinggi dilahirkan selain meningkatkan gaji golongan pekerja di negara ini.

“Kita terlalu selesa dengan limpahan ekonomi yang dibawa oleh industri berasaskan kekayaan semula jadi kita, contohnya industri minyak dan industri perladangan.

“Sebagai sebuah negara, kita tidak menaikkan gaji dalam sektor-sektor penting seperti perkilangan dan perkhidmatan kerana kita selesa dengan kegiatan ekonomi sedia ada kerana upah yang rendah akan tetap memberi pulangan hasil lumayan,” katanya.

Related Articles

Back to top button