Nasional

Kadar pengangguran Jun menurun kepada 3.4 peratus – DOSM

Kadar pengangguran di Malaysia menurun sebanyak 0.1 peratus kepada 3.4 peratus pada Jun 2023 berbanding 3.5 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

Kadar baharu itu didedahkan Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin melalui Perangkaan Tenaga Buruh, Jun dan suku tahun kedua 2023 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) semalam.

Menurut Mohd Uzir, bilangan penganggur pada bulan itu juga menurun kepada 581,700 orang berbanding 584,600 orang sebelum itu.

Pasaran buruh Malaysia kekal stabil pada Jun 2023 disumbangkan oleh peningkatan berterusan bilangan penduduk bekerja, manakala penganggur berada pada trend menurun walaupun prospek ekonomi diunjurkan berkembang sederhana.

“Oleh itu, bilangan tenaga buruh pada Jun 2023 terus mengukuh sebanyak 0.2 peratus merekodkan 16.89 juta orang daripada 16.86 juta pada Mei lepas,” katanya.

Sementara itu jelasnya, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada Jun tidak berubah pada 70 peratus, seperti yang dicatatkan pada bulan lepas.

Bilangan penduduk bekerja pada Jun terus merekodkan trend positif dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.2 peratus kepada 16.31 juta orang berbanding 16.28 juta orang pada bulan sebelumnya.

“Jumlah penduduk bekerja itu, 75.4 peratus adalah dalam kategori pekerja yang mencatatkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus kepada 12.30 juta orang pada Jun berbanding 12.29 juta orang pada Mei, katanya.

“Bilangan penduduk bekerja sendiri juga terus meningkat dengan pertambahan sebanyak 0.5 peratus atau 2.95 juta pada Jun berbanding 2.94 juta orang sebelumnya,” menurutnya.

Beliau berkata bilangan penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari kerja, terdiri daripada 80.3 peratus daripada jumlah penganggur dan kategori ini menurun sebanyak 0.8 peratus kepada 466,900 orang pada Jun lepas daripada 470,400 orang pada bulan sebelumnya.

Mohd Uzir berkata prestasi keseluruhan pada suku kedua 2023, bilangan tenaga buruh terus menunjukkan peningkatan dengan pertambahan 0.5 peratus kepada 16.73 juta orang berbanding 16.65 juta yang dicatatkan pada suku pertama.

Bilangan orang bekerja turut meningkat 0.5 peratus kepada 16.15 juta orang pada suku kedua tahun ini berbanding 16.06 juta orang sebelum itu, manakala bilangan penganggur menurun 0.9 peratus kepada 581,400 orang berbanding 586,900 orang pada suku pertama.

Kadar pengangguran pada suku kedua 2023 kekal 3.5 peratus seperti suku sebelumnya.

“Kedudukan tenaga buruh pada bulan-bulan akan datang dijangka terus berkembang dengan mantap sejajar dengan jangkaan Indeks Peneraju Malaysia yang meramalkan prospek ekonomi yang baik pada bulan-bulan seterusnya,” katanya dipetik Bernama

Related Articles

Back to top button