Uncategorized

Kenyataan Nik Amar tentang isu air bersih di Kelantan dianggap tak bertanggungjawab

Kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menyatakan rakyat negeri itu boleh menggali sendiri telaga jika air yang dibekalkan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) tidak memuaskan dianggap sebagai kenyataan tidak bertanggungjawab.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sebagai seorang pemimpin negeri, Nik Amar tidak sewajarnya membuat kenyataan seperti itu.

Beliau mengingatkan bahawa pembinaan telaga untuk tujuan pengambilan air bawah tanah harus mematuhi keperluan dan garis panduan pihak berkuasa kerana terdapat risiko kandungan logam tinggi dalam tanah yang membahayakan kesihatan.

“Bekalan air Kelantan sememangnya bermasalah dengan sebahagian besar penduduk negeri itu tidak dibekalkan dengan air bersih dan berkualiti,” katanya.

Mohd Amar dilaporkan media sebagai berkata, isu air dihadapi rakyat Kelantan bukannya masalah besar,.

Rakyat negeri itu yang terjejas dengan masalah air jelasnya dapat memahami situasi tersebut dan mampu menguruskannya dengan menggali perigi atau membuat telaga tiub.

Sementara itu Nik Nazmi menegaskan di pihak kementerian, pihaknya akan terus memantau keadaan air Kelantan.

Malah beliau turut mengulangi komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan MADANI untuk menyelesaikan isu bekalan air bersih di negeri itu.

Anwar pada 18 Jun lepas mengumumkan peruntukan RM500 juta untuk mengatasi masalah air bersih di Kelantan, yang merupakan peruntukan tambahan kepada dana RM1 bilion yang diumumkan pada Mei 2023 yang disediakan kerajaan Pusat bagi Kelantan menangani masalah air.

Nik Nazmi sebelum ini dilaporkan berkata, Putrajaya tidak menolak kemungkinan melakukan rombakan atau mengambil alih AKSB jika usaha menyelesaikan masalah air di negeri itu tidak berhasil dan gagal mendapat kerjasama.

Related Articles

Back to top button