Nasional

Kriteria lokasi sekolah khas keluarga miskin sedang diperhalusi KPM

Kementerian Pendidikan (KPM) sedang memperhalusi kriteria penting terhadap lokasi pembinaan projek rintis sekolah khas pelajar keluarga paling miskin.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata model khas tersebut menumpukan kepada isu yang berkait rapat dengan kemiskinan, saluran bantuan dan sokongan kepada ekosistem sekolah sebelum pemilihan pembinaan lokasi yang strategik.

Ia jelasnya akan diperhalusi dan dilihat oleh jawatan kuasa di KPM yang akan ditetapkan kemudian.

“Model khas itu bermaksud tentang akses pendidikan yang sukar untuk pelajar ini (golongan miskin) pergi ke sekolah,” katanya.

Ketua Wanita KEADILAN itu sebelumnya ditemui pemberita selepas beramah mesra bersama pelajar di Program Pembinaan Karakter Bangsa Malaysia Pelajar Lepas Menengah di Dewan Dato’ Haji Ahmad Salleh di Nibong Tebal pada Khamis.

Ahad lalu, Fadhlina dilaporkan berkata kementeriannya akan berusaha sedaya upaya bagi merealisasikan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membina jenis sekolah baharu yang menyasarkan kepada anak-anak daripada golongan paling miskin di negara ini pada tahun depan.

Sementara itu ketika menyentuh program yang diadakan semalam beliau menjelaskan, Program Pembinaan Karakter Bangsa merupakan satu inisiatif penting dalam membina moral yang berkonsep terhadap Anak Yang Baik lagi Cerdik (ABC) dalam melahirkan gerasi bijak pandai dan mempunyai sahsiah diri yang baik.

Ia dilaksanakan sebanyak empat siri yang melibatkan peserta terdiri daripada pelajar Tingkatan Enam, Institusi Pendidikan Guru, Kolej Matrikulasi dan Kolej Vokasional tahun 2023 di negeri Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.

“Program tersebut termasuk dalam inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Negara, ini adalah sebahagian inisiatif yang menghimpunkan mereka (pelajar lepasan menegah) dalam satu program untuk memastikan perbincangan yang berlaku berkait rapat dengan pembinaan karekter bangsa,” katanya.

Related Articles

Back to top button