Mengapa Pas dan Bersatu mesti kita tolak
ULASAN | Dalam buku ‘Kita Dengan Islam: Tumbuh Tiada Berbuah’ tulisan Prof. Dr. Syed Hussein Alatas, beliau ada menuliskan.
“Demokrasi sebagai kelas yang berkuasa yang membuka pintu kelasnya agar orang lain dari bawah dapat menjadi anggotanya.”
Kata-kata dari ayat yang ringkas tapi padu itu harus kita fahami secara telitik dengan menyemak terlebih dahulu latar belakang sejarah mengapa beliau menuliskan hal-hal dan perkara yang sedemikian.
Sebab terbesar salah seorang pemikir terpenting tanahair seperti Prof. Dr. Syed Hussein Alatas menulis esei-esei panjang yang sempat dikumpulkan dalam buku tersebut sebenarnya adalah untuk melahirkan manusia Islam yang baharu.
Menurut beliau ia bukanlah masalah yang baru muncul ke permukaan persekitaran politik, budaya dan sosial ummat Islam pada zaman moden di era baru. Akan tetapi masalah itu telahpun melalui tempoh masa selama lebih 200 tahun sehingga menampakkan kesan negatif dan mudarat yang amat berat.
Permasalahan itu bolehlah diandaikan sebagai barah mata dan barah telinga yang telahpun menyebabkan ummat Islam khususnya Melayu Islam dinegara ini jadi buta dan tuli. Malah lebih teruk lagi, barah itu telahpun menjangkiti otak ummat sehingga menjadikan akal dan pemikiran orang-orang Islam Melayu negara ini jadi jumud dan mundur sekaligus mengakibatkan proses untuk menuju ke arah kemajuan jadi terbantut.
Menurut Prof. Dr. Syed Hussein Alatas lagi. Hal dan permasalahan itu harus diangkat dan diketengahkan ke tengah masyarakat kerana “orang Islam lama” yang masih ada dan wujud pada hari ini telah gagal membawa ummat Islam menuju ke arah kemajuan yang sebenarnya islam ajarkan.
Istilah “orang Islam lama” yang disebutkan beliau bolehlah ditafsirkan kepada dua bahagian. Iaitu pertama individu yang merujuk kepada pemimpin dan masyarakat. Serta yang kedua merujuk kepada pemikiran.
Sikap anti progresif yang enggan memupuk serta tidak mahu menganjurkan kemajuan pemikiran dikalangan orang Melayu Islam agar lebih tinggi dan terkehadapan dapat dilihat pada dunia politik Melayu Islam di negara ini.
Kewujudan parti-parti politik seperti PAS dan BERSATU misalnya. Mereka dilihat lebih suka membawa masyarakat Melayu Islam menuju ke belakang. PAS dan BERSATU yang mengaku memperjuangkan Islam dan Melayu kelihatan lebih selesa mengadu domba fikiran masyarakat dengan hal yang bukan-bukan.
Perkara itu bukan sahaja boleh dilihat dengan jelas pada beberapa negeri yang ditadbir oleh mereka, akan tetapi boleh juga dihidu dengan bau-bau yang busuk di dalam ucapan dan apa-apa sahaja yang pemimpin mereka cakapkan.
Baru baru ini, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata.
“Orang kampung sendiri dia faham dan kadang-kadang kes itu (air) dia selesai sendiri. Contoh kalau tidak ada air kerajaan, dia bina telaga tiub, gali perigi. Dia (masyarakat) cari penyelesaian sendiri. Sebab itu bagi di kampung ini bukan perkara besar, bukan isu yang besar (masalah air).”
Kenyataan dari pemimpin yang juga merupakan seorang pentadbir tertinggi kerajaan negeri sebeginilah yang dimaksudkan sebagai “orang Islam lama” yang sebenarnya merbahaya.
“Orang Islam lama” seperti inilah maksud dari beberapa lapis makna tentang apa yang telah Prof. Dr. Syed Hussein Alatas tuliskan. Iaitu jenis orang Islam yang tidak sanggup dan tidak mahu menerima kemajuan pemikiran dan teknologi pada zamannya. Tidak pernah pula ada kesanggupan untuk membuka pintu-pintu ijtihad dan mahu berhujah dengan waras dan tenang serta membawakan kebenaran fakta serta ketepatan realiti permasalahan rakyat.
“Orang Islam lama” yang wujud dalam PAS dan BERSATU tidak pernah sanggup untuk melepaskan diri mereka daripada kongkongan pemikiran konservatif kuno kerana merasakan hal-hal sensasi dan murahan seperti isu agama dan bangsa itulah yang paling bernilai untuk mereka buat modal demi merampas kekuasaan.
Kerana itu kita dapat melihat dalam banyak situasi dan keadaan. Pemikiran “Orang Islam lama” ini disebarkan melalui twiter dan tiktok. Ditunjukkan dengan video-video gedik dan bodoh. Dimain dan diulang-ulang dalam semua pentas ceramah dan kempen berasid dari rumah ke rumah.
Sampai kalau ada seorang makcik tua yang kata undi umno jadi kafir sampai kiamat dek kerana ingatan makcik itu yang kuat terlekat dengan amanat pimpinan PAS dulu pun mereka hanya kata makcik itu nyanyuk dan enggan membaik dan memperbetulkan keadaan.
Parti PAS dan BERSATU yang tepu dengan mentaliti “orang Islam lama”. Hari ini lebih gembira melihat ketiak rakyat basah dalam ceramah omongan kosong dan kempen kebencian yang mereka adakan.
Pemimpin-pemimpin PAS dan BERSATU yang enggan bersama dengan kerajaan perpaduan yang pernah menghulurkan tangan demi menjunjung titah baginda agung akan terus menerus berteriak dengan isu, hal dan perkara yang bukan-bukan.
Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim sering membuat penegasan bahawa kerajaan yang beliau pimpin adalah kerajaan Melayu Islam yang menjunjung perlembagaan dan meraikan semua kaum dan bangsa yang hidup dan tinggal dalam negara ini.
Kerajaan yang dipimpin beliau adalah kerajaan yang menganjurkan persoalan meluruskan adab dan akhlak. Iaitu memperkukuhkan iman dengan jalan kembali kepada hadith dan al-Quran. Penegakkan syiar Islam dan syariat yang kerajaan Madani lakukan adalah melalui jalan pemikiran progresif, berkasih sayang dan damai. Tidak mengguna pakai “Orang Islam lama” sepertimana apa yang Prof. Dr. Syed Hussein Alatas sebutkan.
Kerajaan Madani yang ada sekarang lebih menuntut kemajuan dalam erti kata yang sebenar, iaitu bukan saja memajukan aspek mental, ideologi dan pemikiran. Malah memperhebatkan kemajuan materi disetiap kampung, rumah, taman, bandar dan pekan.
Menerima dan meraikan kepelbagaian kaum serta perbezaan agama dan perbezaan pendapat yang sejak dari awal kerajaan Madani amalkan haruslah dimenangkan dalam pilihanraya negeri yang bakal berlangsung esok.
Ini kerana seandainya kemenangan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional itu tidak berlaku naratif karut “Orang Islam lama” yang makin menggila dan bermarajalela dalam PAS dan BERSATU akan terus menerus berjalan dan berkekalan.
BalasKirim Semula |