PH-BN boleh menang besar, kempen Bersih PN gagal – Penganalisis
Peluang untuk Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri kali ini dilihat lebih besar.
Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Jamaie Hamil dipetik laporan BH online berkata, gabungan dua blok politik besar itu hanya memerlukan sekitar 75 peratus undi untuk meraih kejayaan itu.
Melihat undi UMNO-BN akan menjadi penentu kemenangan gabungan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, beliau berkata Pulau Pinang yang menjadi kubu kuat parti itu lebih sedekad lalu akan terus kekal milik PH.
“Kekuatan PH juga di kawasan bandar dan semi bandar di Selangor dan PN perlu bekerja keras untuk dapat sokongan di kawasan pengundi majoriti Melayu begitu juga di Negeri Sembilan,” jelasnya.
Jamaie turut berkata, PN ketika ini dilihat bergantung kepada undi protes dari ahli UMNO seperti yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum ini.
Bagaimanapun kempen bersih (bebas rasuah) yang dijadikan modal kempen PN menurutnya gagal meyakinkan pengundi protes UMNO
” Ini menjadi satu faktor peralihan undi boleh berlaku dengan lancar kepada PH-BN.
“Jika 25 peratus masih protes kepada UMNO-BN maka akan berlaku persaingan sengit antara PH-BN dengan Perikatan Nasional (PN),” katanya dipetik laporan itu.