Negeri

Prestasi negeri PH lebih baik berbanding pembangkang, kata kajian

Firma penyelidik bebas Ilham Centre mendapati prestasi Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) lebih baik berbanding negeri-negeri ditadbir oleh parti-parti pembangkang.

Dapatan kajian terkini itu secara tidak langsung memberi gambaran bahawa pentadbiran Menteri Besar atau Ketua Menteri di negeri PH diterima ramai menerusi dasar yang telah dilaksanakan sepenggal lalu.

Melalui soal selidik yang sama juga mendapati bahawa pencapaian Ketua Menteri Pulau Pinang adalah paling tinggi dari segi tahap kepuasan hati rakyat diikuti oleh Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Ketua menteri sementara Pulau Pinang Chow Kon Yeow ketika mengulas perkara itu berkata dapatan daripada hasil kajian tersebut secara tidak langsung memberi keyakinan kepada PH dan Kerajaan Perpaduan untuk berdepan pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

“Kajian yang dijalankan adalah melibatkan tahap kepuasan hati rakyat terhadap pengurusan ekonomi, kebajikan dan kesejahteraan rakyat, pengurusan air bersih, pengurusan tanah serta perihal tadbir urus am yang memperlihatkan Pulau Pinang mendapat skor lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain.

“Selain itu, kajian ini juga melihat kepada aspek pencapaian Ketua Menteri yang mana Ketua Menteri Pulau Pinang paling menunjukkan kadar kepuasan hati rakyat paling tinggi.

“Oleh yang demikian, kita berasa lebih yakin untuk berhadapan dengan pengundi-pengundi kerana kita telah membuktikan bahawa kita melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dengan sebaik mungkin,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan bahawa kajian Ilham Centre yang dilakukan secara keseluruhan mendapati, tahap kecekapan pengurusan dan mentadbir, negeri PH menerima dukungan daripada rakyat.

Sementara itu Kon Yeow menyatakan bahawa masih banyak perkara yang perlu dilakukan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang khususnya membangunkan projek-projek infrastruktur diperlukan oleh rakyat di negeri ini.

“Kita sedar bahawa kita tidaklah sempurna 100 peratus dan masih banyak lagi perkara yang harus kita lakukan untuk rakyat yang memerlukan banyak sokongan daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat.

“Oleh itu, pengundi-pengundi perlu memberikan kepercayaan kepada calon-calon Kerajaan Perpaduan agar Kerajaan Negeri yang dibentuk nanti adalah selari dengan Kerajaan Persekutuan.

“Ini penting untuk membantu melancarkan pelaksanaan projek-projek yang diyakini akan membawa kebaikan kepada negeri ini,” kata Pengerusi PH Pulau Pinang itu.

Related Articles

Back to top button