Pilihanraya

PRK Kuala Terengganu: Azan Ismail seru lebih ramai keluar mengundi

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya kecil (PRK) P.036 Kuala Terengganu, Azan Ismail menyatakan harapan agar lebih 85% pengundi keluar mengundi.

Beliau yang selesai menunaikan tanggungjawab itu pada jam 9.10 pagi tadi berkata sudah menjadi tradisi masyarakat di Kuala Terengganu keluar mengundi secara teratur dan aman.

“Saya rasa di kawasan ini lebih 85% keluar mengundi sebab semuanya duduk di sini, tak ramai duduk di luar. Tradisinya agak baik. Peratusan yang datang atau balik dari luar Terengganu juga agak tinggi terutamanya anak-anak muda.”

“Pagi ini cuaca baik walaupun ada jangkaan hujan sebelah tengah hari, namun pusat ini tidak ada kesesakan, beratur pun tidak panjang, tapi peti undi menunjukkan sudah ramai orang keluar mengundi. Saya pun dah selesai mengundi,” katanya.

Azan berkata begitu ketika ditemui media di hadapan pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Bukit Besar.

Pada 27 jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu di Terengganu membatalkan kemenangan Ahmad Amzad daripada PAS bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada PRU-15.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dilapor membenarkan petisyen pilihan raya difailkan calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen itu, Mohd Zubir Embong.

Keputusan dibuat Hakim selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15.

Bagi PRK Parlimen Kuala Terengganu, seramai 122,160 pengundi layak mengundi, ia membabitkan seramai 1,995 petugas di 41 pusat mengundi yang mengandungi 217 saluran mengundi.

Related Articles

Back to top button