PRN: Firma penyelidik jangka status qou enam negeri kekal
Beberapa firma penyelidik meramalkan Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini bakal berakhir dengan semua negeri terlibat mengekalkan status qou mereka.
Merdeka Center melalui laporan media malam tadi berkata, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan terus kekal dalam genggaman Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).
Sementara Kedah, Kelantan dan Terengganu kekal di tangan Perikatan Nasional (PN).
Tinjauan juga menunjukkan, PH-BN dan PN khususnya di Pulau Pinang dan Selangor serta kawasan etnik campuran Kedah masih perlu menarik pengundi atas pagar.
Kajian dilakukan bermula 3 Julai hingga 11 Ogos melibatkan 6,179 responden itu turut mendapati pengundi bukan Melayu diramal tetap berpihak kepada PH tetapi kadar keluar mengundi terus menjadi kebimbangan.
Firma penyelidikan Emir Research dalam kajiannya meramalkan keputusan serupa dengan masing-masing kerajaan negeri akan dikekalkan.
Di Selangor, Emir Research menjangkakan PH-BN dijangka mampu memperoleh 35 kerusi daripada 56 kerusi.
Perikatan Nasional pula dijangka berjaya menawan 13 kerusi di negeri itu, manakala 8 kerusi lagi tidak pasti.
Di Negeri Sembilan, PH-BN diramal memperoleh 18 kerusi, manakala PN-Pas mungkin tidak akan memenangi sebarang kerusi di negeri itu. Selebihnya 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu tidak pasti.
PH-BN terus mendahului di Pulau Pinang dengan 26 kerusi, PN-Pas (7 kerusi) dan 7 kerusi DUN tidak pasti.
Kajian Emir Research yang dibuat berdasarkan data awam, rekod pilihan raya terdahulu, pangkalan data tersendiri dan model pelbagai teknik turut mendapati di Kedah, Kelantan dan Terengganu masing-masing didahului Pas.