Uncategorized

Projek 1Bestari Net: MKM buat laporan polis terhadap Muhyiddin

Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) pada Jumaat membuat satu laporan polis terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin

Pengerusinya, Uzair Mohamad Fadzli berkata, ia berhubung penyelewengan projek 1Bestari Net yang dilaksanakan oleh YTL Corporation Berhad (YTL) semasa Muhyiddin menjadi Menteri Pendidikan.

Katanya, MKM terpanggil membuat laporan polis berhubung perkara tersebut setelah kes penyelewengan itu turut dilaporkan oleh portal berita Malaysia World News.

“Berita itu mendedahkan bahawa projek 1Bestari Net telah gagal mencapai objektif meskipun berbilion ringgit telah dibayar kepada YTL.

“Pembayaran projek itu pernah dilaporkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 2019 dan Laporan Audit Negara bagi tahun 2013.

“Malah merujuk kepada hantaran yang dibuat oleh individu dikenali sebagai Datuk Lokman Adam di Aplikasi X atau yang dahulunya dikenali sebagai Twitter, ia telah mendedahkan isu penyelewengan yang berlaku di dalam projek itu,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Mengulas lanjut, Uzair berkata, projek 1Bestari Net telah menelan belanja sebanyak RM4.6 bilion, jauh lebih tinggi daripada kos yang sepatutnya dianggarkan bernilai RM1 bilion menurut penilaian pihak industri.

Tambahnya, pendedahan laporan daripada portal berita menunjukkan pihak YTL telah membina tiang pencawang di atas tanah milik kerajaan tanpa membayar caj utiliti dan sewaan tapak.

Ekoran tindakan itu jelasnya, ia mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian bernilai jutaan ringgit.

MKM sementara itu percaya projek 1Bestari Net telah melanggar prosedur dan tatakelola perolehan kerajaan ekoran penyelewengan.

Sehubungan itu katanya, MKM tampil membuat laporan polis terhadap Muhyiddin kerana percaya wujud salah guna kuasa dan isu penyelewengan melibatkan kepentingan awam serta dana negara yang besar.

“Kami menuntut agar satu siasatan polis dimulakan terhadap Muhyiddin dan tindakan undang-undang yang tegas diambil ke atasnya.

“MKM akan membuat laporan polis di 14 buah negeri di seluruh negara di atas dakwaan penyelewengan 1Bestari Net ini,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button